π—’π—£π—˜π—₯π—”π—¦π—œ π—•π—˜π—₯π—¦π—˜π—£π—”π——π—¨ π—”π—šπ—˜π—‘π—¦π—œ π—£π—˜π—‘π—šπ—¨π—”π—§π—žπ—¨π—”π—¦π—”π—”π—‘ π——π—œ π—¦π—˜π— π—£π—”π——π—”π—‘ π— π—”π—Ÿπ—”π—¬π—¦π—œπ—”-π—§π—›π—”π—œπ—Ÿπ—”π—‘π—— π—£π—˜π—₯π—žπ—¨π—žπ—¨π—› π—žπ—”π—ͺπ—”π—Ÿπ—”π—‘ π—žπ—˜π—¦π—˜π—Ÿπ—”π— π—”π—§π—”π—‘ π—£π—˜π—₯π—”π—œπ—₯𝗔𝗑 π—‘π—˜π—šπ—”π—₯𝗔

.
π—Ÿπ—”π—‘π—šπ—žπ—”π—ͺπ—œ, 𝟭𝟭 𝗠𝗲𝗢 – Satu operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan negara telah dilaksanakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bermula 8 Mei hingga 10 Mei 2026 bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di perairan Zon Maritim Malaysia.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa memaklumkan, operasi bersepadu ini melibatkan kerjasama strategik antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) di perairan Utara Malaysia.

”Pelaksanaan operasi ini memberi fokus kepada aktiviti pengawasan dan pemantauan kawasan perairan yang dikenal pasti berisiko tinggi terhadap aktiviti penyeludupan barang bersubsidi, pencerobohan sempadan serta kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke dalam perairan negara,” tambah beliau.

Jelas Romli lagi, sepanjang operasi dilaksanakan, aset-aset laut dan pasukan penguat kuasa telah digerakkan secara bersepadu bagi mempertingkatkan kehadiran penguatkuasaan di kawasan sempadan maritim selain memperkukuhkan koordinasi antara agensi dalam perkongsian maklumat risikan dan tindakan operasi.

Sepanjang tempoh operasi, sebanyak lima aset yang terdiri daripada dua aset Maritim Malaysia, dua aset Jabatan Perikanan Malaysia serta satu aset PPM telah diatur gerakkan . Operasi ini turut disertai seramai 59 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan.

Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 26 pemeriksaan fizikal telah dilaksanakan ke atas vesel dan bot yang beroperasi di kawasan sempadan perairan Malaysia-Thailand.

Hasil daripada pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan tersebut, sebanyak dua tangkapan berjaya dilakukan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan. Nilai keseluruhan rampasan dan tangkapan dianggarkan berjumlah lebih RM51 ribu.

Romli dalam pada itu turut menegaskan, operasi secara bersama mampu meningkatkan keberkesanan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan di kawasan sempadan maritim negara.

β€œMaritim Malaysia akan terus memperkukuhkan kerjasama bersama semua agensi penguatkuasaan dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal.

β€œKehadiran aset-aset penguat kuasa secara berterusan di kawasan sempadan diyakini mampu memberi kesan pencegahan terhadap sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Perlis, Hishamuddin Fitri bin Abu Hasan berkata, operasi bersepadu ini merupakan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.

β€œKerjasama strategik antara semua agensi penguatkuasaan ini amat penting bagi memastikan sebarang ancaman rentas sempadan termasuk penyeludupan barang bersubsidi dan kemasukan PATI dapat dibendung secara lebih efektif.

β€œPendekatan bersepadu ini juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memelihara keselamatan dan kestabilan perairan negara,” katanya.

Operasi bersepadu ini juga dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan selain meningkatkan kecekapan koordinasi operasi antara agensi dalam mendepani cabaran keselamatan maritim semasa.

Orang ramai turut diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau jenayah di laut kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan dan pemeliharaan keselamatan perairan negara.

.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *