






Oleh: Sholina Osman
Foto: MAIPs
11 MEI 2026
Terdapat kehadiran lumba-lumba Irrawaddy di perairan Sungai Baru, Perlis sejak dua minggu lalu yang dipantau pada setiap hari oleh Persatuan Penjelajah Alam Perlis (Perlis Nature Xplorer) – PNX.
Taklimat mengenai Mamalia Marin Perlis dipersembahkan oleh Pengerusi PNX, Syamil Abd Rahman kehadapan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di tepi pantai Sungai Baru.
Sesi khas tersebut bertujuan untuk menyampaikan penerangan mengenai ‘Important Marine Mammals Area (IMMA) bagi lima spesies mamalia marin utama iaitu Indo-Pacific Humpback Dolphin (Lumba-lumba Bongkok), Indo-Pacific Bottlenose Dolphin (Lumba-lumba Muncung Botol), Irrawaddy Dolphin (Empesut), Finless Porpoise (Lumba-lumba Tikus), dan Paus Bryde.
PEMELIHARAAN HABITAT MARIN
Dalam taklimat tersebut, turut ditekankan kepentingan pemeliharaan habitat marin yang menjadi kawasan penting pembiakan, pergerakan, dan pencarian makanan bagi spesies berkenaan.
PNX bersama komuniti setempat serta agensi-agensi berkaitan juga menjalankan pemantauan berkala bagi merekodkan kehadiran kumpulan lumba-lumba Irrawaddy yang semakin kerap dikesan di kawasan perairan Kuala Sungai Baru.
Tuanku Raja Muda turut disembah maklumkan bahawa pengiktirafan IMMA bukan sahaja berfungsi sebagai pengiktirafan saintifik terhadap kepentingan biodiversiti marin, tetapi juga sebagai asas kepada usaha pemuliharaan jangka panjang termasuk pengawalan aktiviti perikanan, pengurangan pencemaran laut, dan garis panduan pelayaran agar tidak mengganggu habitat mamalia marin.
SPESIES MARIN TERANCAM
Aktiviti ini diharap dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan spesies marin terancam serta peranan komuniti dalam menjaga keseimbangan ekosistem laut.
PNX turut menasihatkan orang ramai, khususnya pelawat dan nelayan, supaya mengamalkan etika jarak selamat apabila berhadapan dengan mamalia marin, termasuk tidak memberi makanan, tidak mengejar haiwan, serta mengurangkan bunyi enjin bot bagi mengelakkan gangguan dan tekanan terhadap hidupan laut.
Terdahulu daripada itu Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menyantuni dan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Mt Ali Long dari Kampung Sungai Baru Tengah, 75,
Azizah Mahmud dari Kampung Sungai Baru, 77, dan Azani Junos dari Kampung Sungai Baru, Sanglang, 60. – JM
