π—£π—˜π— π—œπ—‘π——π—”π—›π—”π—‘ 𝟯 π—žπ—”π—‘π—”π—ž-π—žπ—”π—‘π—”π—ž π—ͺ𝗔π—₯π—šπ—” π—§π—›π—”π—œπ—Ÿπ—”π—‘π—— π—•π—”π—šπ—œ 𝗧𝗨𝗝𝗨𝗔𝗑 π—£π—˜π—‘π—šπ—¨π—₯𝗨𝗦𝗔𝗑 π—žπ—˜π—¦ π—”π—§π—œπ—£π—¦π—’π— 

Bukit Kayu Hitam, 12 Mei 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah (JIM Kedah) telah melaksanakan pemindahan tiga (3) kanak-kanak lelaki warganegara Thailand berusia lingkungan enam (6) hingga dua belas (12) tahun yang terlibat dalam satu kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Pemindahan tersebut turut disaksikan oleh Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Tuan Mohd Ridzzuan bin Mohd Zain bersama Komandan Depot Imigresen Belantik (DIB), Tuan Adam Hamidi Auliyad bin Mohd Amran, Ketua Imigresen ICQS Bukit Kayu Hitam, Tuan Norazam bin Ahmad, wakil Konsul Jeneral Thailand di Malaysia serta Ketua Pejabat Imigresen Dannok.

Ketiga-tiga kanak-kanak tersebut sebelum ini ditempatkan di Baitul Mahabbah Darulaman (BMD) bagi tujuan perlindungan sementara dan pengurusan kebajikan sementara menunggu proses siasatan serta dokumentasi oleh pihak berkuasa.

Kes ini adalah susulan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan pada April 2026 oleh pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di ICQS Bukit Kayu Hitam melibatkan pemeriksaan ke atas tiga buah van yang membawa 29 individu termasuk tujuh (7) kanak-kanak lelaki warga Thailand. Siasatan lanjut mendapati empat (4) lelaki warga Thailand disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A ATIPSOM berikutan wujud elemen penyeludupan migran serta pergerakan rentas sempadan melibatkan kanak-kanak warga asing.

Susulan itu, JIM Kedah telah mengambil langkah sewajarnya termasuk menguruskan penempatan, kebajikan dan keselamatan kanak-kanak yang terlibat dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan serta pihak Konsul Jeneral Thailand. Pemindahan tiga (3) kanak-kanak tersebut dilaksanakan selepas melalui proses dokumentasi dan semakan berkaitan selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur operasi yang ditetapkan.

JIM Kedah komited untuk terus melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, berhemah dan berintegriti dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang negara, di samping mengekalkan hubungan diplomatik serta kerjasama baik antara Malaysia dan Thailand.

@2026 Bahagian Perancangan Strategik & Khidmat Korporat | Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah

Jom ikuti media sosial rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah:
https://linktr.ee/jimkedah

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *