

Oleh : Wartawan JM
12 Mei 2026
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh memohon maaf secara terbuka susulan kenyataan beliau dalam satu ceramah politik yang didakwa menghina para sahabat Rasulullah SAW.
Naib Ketua AMK Nadia Nazri berkata pihaknya merujuk kepada video tular yang memaparkan ucapan Nik Zawawi berkaitan sejarah hidup para sahabat utama Rasulullah SAW sebelum memeluk Islam.
Menurut beliau, dakwaan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu bahawa khalifah pertama Abu Bakar as-Siddiq merupakan seorang βbapa cetiβ dan mengaitkan Umar al-Khattab dengan perbuatan hina sebelum memeluk Islam menimbulkan keresahan awam.
βPara sahabat Rasulullah SAW bukan bahan untuk memanaskan pentas politik. Mereka adalah generasi yang menjadi jambatan antara wahyu dan umat, generasi yang mempertahankan Islam ketika agama ini ditekan dan diperangi,β katanya dalam kenyataan hari ini.
Nadia berkata sekiranya kenyataan itu benar dibuat seperti yang tular dan dilaporkan, ia disifatkan sebagai mengelirukan serta tidak beradab terhadap tokoh besar Islam.
βIa amat mengelirukan, tidak beradab, dan berisiko mencemarkan kefahaman masyarakat terhadap kedudukan para sahabat Nabi SAW,β katanya.
Tambah beliau, nama besar kedua-kedua sahabat Nabi Muhammad itu tidak boleh disebut secara cuai dengan gambaran yang merendahkan martabat mereka.
Nadia turut mempersoalkan standard ilmu dan adab yang mahu dibawa Pas dalam wacana politik Islam memandangkan kenyataan itu datang daripada seorang pemimpin kanan parti berkenaan.
βLebih membimbangkan, kenyataan seperti ini datang daripada seorang yang memegang kedudukan tinggi dalam struktur ulama Pas.
Justeru itu, persoalan yang timbul ialah: apakah ini standard ilmu dan adab yang mahu dibawa oleh Pas dalam wacana politik Islam hari ini?β soalnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Nik Zawawi membuat permohonan maaf terbuka kepada umat Islam, menarik balik kenyataan tersebut dan memperbetulkan fakta sejarah yang disampaikan kepada masyarakat.
βSebagai Ahli Parlimen Pasir Puteh dan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, beliau tidak boleh sekadar berlindung di sebalik alasan konteks, potongan video atau salah faham,β katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendesak kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia menyatakan pendirian rasmi berhubung kontroversi tersebut.
Nadia juga mempertikaikan cadangan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa yang mahu isu itu dibincangkan secara dalaman memandang isu ini melibatkan keresahan awam yang menyentuh kefahaman umat terhadap kedudukan para sahabat Rasulullah.
βApabila kenyataan dibuat di pentas awam, disebarkan kepada masyarakat, dan mengundang kekeliruan umat, maka pembetulannya juga mesti dibuat secara terbuka,β katanya.
Menurut Nadia, isu berkenaan bukan sahaja berpotensi menjadi fitnah, malah boleh merosakkan adab umat Islam terhadap tokoh besar agama.
βDalam Islam, ilmu mesti datang bersama amanah. Kesilapan seperti ini bukan sahaja boleh mengelirukan kefahaman dan menjadi bahan fitnah tetapi juga boleh merosakkan adab umat terhadap tokoh-tokoh besar Islam,β katanya.
Beliau turut berpandangan budaya menggunakan agama secara selektif demi kepentingan politik perlu dihentikan.
βIslam tidak memerlukan retorik yang melampau. Islam memerlukan ilmu, adab, kejujuran dan tanggungjawab.
βJangan kerana terlalu ghairah berpolitik, sejarah para sahabat pula menjadi mangsa,β katanya.
