





14 Mei 2026
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan kegiatan penggajian warga asing secara haram yang didalangi oleh warga asing sendiri dalam satu operasi khas Ops Mahir, di Seri Kembangan, Selangor.
Serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan, JIM Putrajaya pada 12 Mei 2026, jam 12.30 tengah hari itu menyasarkan sebuah kilang pengubahsuaian dan pembekal kusyen kereta.
Hasil risikan selama seminggu mendapati premis tersebut dimiliki dan diuruskan oleh majikan warganegara China yang dikesan sengaja memilih dan menggaji warga asing, terutamanya rakan senegara dari China, tanpa sebarang dokumen atau permit yang kerja yang sah. Pasukan serbuan dengan kekuatan 17 pegawai pelbagai pangkat telah diatur gerak ke premis tersebut dan membuat pemeriksaan ke atas 24 individu terdiri daripada 21 warga asing dan tiga (3) warga tempatan.
Seramai 16 warga asing termasuk majikan warga China dan Myanmar berumur di antara 26 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta tiga (3) Borang 29 Saman kepada Saksi telah dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan. Kesemua mereka telah dibawa dan ditahan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal lebih masa dan yang menyalah gunakan pas di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI.
