

PUTRAJAYA, 13 Jun 2026 β Jabatan Pendaftaran Negara
(JPN) ingin memberi jaminan sepenuhnya bahawa proses peralihan serta penukaran kad
pengenalan kepada MyKad Struktur Baharu yang akan dilaksanakan pada bulan Jun ini,
tidak akan mengganggu proses penebusan bantuan kerajaan yang menggunakan MyKad
seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
JPN juga
akan memastikan senarai nama penerima bantuan yang sedia ada di dalam sistem akan
kekal dan tidak tercicir semasa proses pertukaran ini.
Kenyataan yang dikeluarkan ini bagi menjawab kegusaran segelintir pihak mengenai
kemungkinan gangguan teknikal atau keciciran nama daripada senarai penerima bantuan
susulan pelancaran MyKad Struktur Baharu pada bulan Jun ini.
Pihak JPN telah menjalin kerjasama erat dengan pelbagai kementerian dan agensi penyalur
bantuan bagi memastikan integriti data yang disalurkan tetap kekal lancar dan utuh.
Proses
migrasi maklumat akan berlaku secara automatik dalam sistem pangkalan data pusat, sekali
gus memastikan bantuan akan diterima kepada penerima yang layak.
Ciri keselamatan baharu pada MyKad Struktur Baharu tersebut akan memantapkan lagi
proses pengesahan identiti penerima.
MyKad Struktur Baharu tetap menyokong ekosistem
sedia ada yang digunakan untuk tujuan penyaluran subsidi dan bantuan.
JPN memahami kebimbangan masyarakat, terutamanya golongan rentan yang bergantung
kepada bantuan kerajaan.
Fokus utama JPN adalah untuk meningkatkan keselamatan
identiti rakyat dan tidak menyukarkan rakyat untuk menerima bantuan kerajaan yang
diberikan.
Rakyat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan khabar angin atau maklumat palsu yang
mendakwa bantuan akan dihentikan jika kad tidak ditukar dengan segera.
Proses penukaran
akan dilaksanakan secara berfasa dan makluman terperinci mengenai tatacara permohonan
akan diumumkan dalam masa terdekat.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi JPN di
www.jpn.gov.my atau saluran rasmi media sosial JPN.
Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat
b.p. Ketua Pengarah
Jabatan Pendaftaran Negara
