Kerajaan akan terus pastikan pembangunan sukan, kebajikan para atlet dipelihara – PMX

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
19 MEI 2026

Kerajaan MADANI akan terus memastikan pembangunan sukan serta kebajikan para atlet dipelihara dengan sebaiknya sekalipun negara berdepan cabaran ekonomi semasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di sebalik setiap pingat dan kejayaan, ada keringat, air mata serta pengorbanan besar yang wajar dihormati seluruh rakyat.

“Para atlet bukan sahaja membawa cabaran negara di gelanggang sukan, malah menjadi lambang perpaduan, ketekunan dan semangat tidak mudah mengalah,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol serta Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin.

Anwar berkata dalam dunia yang sering dipenuhi perbezaan dan pertikaian, sukan menyatukan semua.

“Apabila Malaysia turun gelanggang, yang ada hanyalah satu semangat dan harapan yang dikongsi bersama,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata sukan tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat kerana daripada penyertaan rakyat di setiap lapisan lahirnya kekuatan bangsa dan kecemerlangan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *