


Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
22 MEI 2026
Penubuhan Malaysia CyberSecurity Centre of Excellence (CCoE) di Cyberjaya sejak 2024 telah memberi manfaat besar menerusi pelbagai kursus dan persijilan keselamatan siber yang melibatkan hampir 10,000 penjawat awam serta profesional ICT dalam menghadapi ancaman siber dan cabaran pasca kuantum yang semakin kompleks.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian setelah menerima kunjungan hormat delegasi BlackBerry Limited yang diketuai CEO merangkap Presidennya, John Giamatteo bersama pimpinan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Beliau berkata pertemuan ini bagi membincangkan usaha memperkukuh kompetensi tempatan dalam bidang keselamatan siber dan teknologi masa hadapan.
PROGRAM SMART CAMPUS
“Saya turut dimaklumkan mengenai kerjasama strategik melibatkan program Smart Campus, pembangunan teknologi BlackBerry QNX bagi sektor kenderaan elektrik, semikonduktor dan automasi industri, selain inovasi Alat Dialisis Mudah Alih PeritoCare hasil kepakaran anak tempatan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Beliau berharap semoga sinergi kerajaan, industri dan akademia terus diperkasa demi mengangkat inovasi serta teknologi ciptaan anak Malaysia ke persada dunia. – JM
