



Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
22 MEI 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur apabila beberapa petunjuk mutakhir menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan tatkala pertumbuhan, pelaburan dan pasaran modal terus mencatat momentum positif, malah dalam beberapa aspek melangkaui unjuran awal.
Bagaimanapun kata beliau kita tidak boleh leka dengan angka semata-mata.
“Pelaburan yang masuk ke negara kita mesti berakar di bumi Malaysia, membina keupayaan syarikat tempatan, meningkatkan kemahiran anak watan, memperkukuh PKS dan akhirnya mengangkat darjat hidup rakyat terbanyak,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Terdahulu beliau mempengerusikan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 12 di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia malam tadi dengan tumpuan kepada persoalan besar: Bagaimana Malaysia menempatkan diri secara lebih ampuh dalam arus baharu aliran modal global.
TIDAK BOLEH DIUKUR
Anwar berkata kejayaan ekonomi tidak boleh diukur semata-mata melalui angka besar di atas kertas.
Beliau berkata pertumbuhan mesti dirasai peniaga kecil, pekerja biasa, anak muda yang mencari pekerjaan bermaruah, serta rakyat di desa dan pedalaman.
“Kerana itu Kerajaan MADANI membawa agenda pembangunan yang berpaksikan keadilan sosial dan berusaha memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” kata Anwar.
Berikutan itu kata beliau pada ketika ini Malaysia berada pada persimpangan penting.
DAYA SAING NEGARA
Jelas Anwar modal global sedang berubah, dan ketahanan ekonomi semakin menjadi sebahagian daripada daya saing negara.
Justeru kata beliau reformasi, tatakelola, disiplin fiskal dan keberanian membina keupayaan nasional mesti terus diperkukuh.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus berusaha agar kemajuan negara bukan sahaja terpancar pada angka makro, tetapi benar-benar dirasai dalam kehidupan rakyat di seluruh negara,” kata beliau. – JM
