





Oleh: Sholina Osman
24 MEI 2026
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Perlis telah mengeluarkan 381 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) sejak Januari lalu menerusi Operasi Penguatkuasaan Pembuangan Sampah Kecil.
Pengarah SWCorp Perlis Fadil Idris berkata terbaharu sebanyak 120 NPK telah dikeluarkan terhadap individu pada Operasi Penguatkuasaan Pembuangan Sampah Kecil sempena Program Festival Rakyat 3.0 bermula dari 22 Mac 2026 hingga 24 Mac 2026 bertempat di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.
“Operasi ini diperkasakan ke atas penganjuran program-program berskala besar yang melibatkan kehadiran pengunjung dalam jumlah yang tinggi di mana ia berpotensi memberi impak terhadap kebersihan di kawasan-kawasan awam,” kata Fadil dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata SWCorp mengambil pendekatan dengan menjalankan Operasi Penguatkuasaan Sampah Kecil bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta meningkatkan kesedaran orang awam sekali gus menjaga kebersihan persekitaran sepanjang program tersebut berlangsung.
WARGA KERJA SWCorp
“Penugasan Operasi PSK kali ini melibatkan kekuatan seramai 31 orang warga kerja SWCorp Negeri Perlis bagi membuat rondaan dan pemantauan secara berterusan sepanjang tiga hari pelaksanaan program tersebut,” kata beliau.
Fadil berkata SWCorp akan terus memperkukuhkanpenguatkuasaan secara konsisten dan berfokus bagi memastika tahap kebersihan awam berada pada tahap terbaik serta memupuk budaya masyarakat yang lebihbertanggungjawab terhadap pengurusan sisa pepejal.
Orang awam juga diingatkan agar sentiasa mematuhi peruntukan di bawah Akta 672 bagi mengelakkan tindakan undang-undang, selaras dengan komitmen kerajaan dalam memastikan persekitaran awam yang bersih, indah dan sejahtera. – JM
