Fahmi rasmikan penutupan Inter-Agency Retreat on Combatting Online Scam 2026

Wartawan JM
24 MEI 2026

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini hadir merasmikan majlis penutupan Inter-Agency Retreat on Combatting Online Scam 2026 yang berlangsung di The Vertical, Connexion Conference & Event Centre (CCEC), Kuala Lumpur.

Beliau berkata program ini anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ia telah menghimpunkan pelbagai agensi serta pemain industri bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha membanteras penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan merentas pelbagai platform digital,” kata Fahmi dalam hantaran di FB.

Dalam program tersebut, Fahmi turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MCMC dan Global Anti-Scam Alliance (GASA).

Jelas beliau ia sebagai langkah memperluas kerjasama antarabangsa dalam memerangi scam digital melalui perkongsian pengetahuan, pembangunan kapasiti dan pemerkasaan kesedaran awam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchy dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *