
- PUTRAJAYA, 29 Mei 2026 — Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum mengenai gangguan sementara yang melibatkan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan telah menyebabkan kelewatan urusan pemeriksaan
serta pemprosesan di beberapa pintu masuk negara. - Gangguan tersebut berpunca daripada masalah teknikal dalaman yang telah menjejaskan operasi sistem selama kira-kira 3 jam 45 minit. Sejurus insiden dikesan, Jabatan Imigresen Malaysia bersama pasukan teknikal berkaitan telah mengambil tindakan segera bagi melaksanakan proses pemulihan
sistem. Hasil tindakan pantas yang diambil, sistem berjaya dipulihkan sepenuhnya dan kembali beroperasi seperti biasa dalam tempoh 45 minit
selepas kerja-kerja pemulihan dilaksanakan. - KDN ingin menegaskan bahawa gangguan yang berlaku tidak melibatkan sebarang insiden keselamatan siber. Tiada kebocoran, kehilangan atau
kerosakan data direkodkan dan semua maklumat yang disimpan dalam sistem kekal selamat serta terpelihara. - KDN menyedari bahawa sistem kritikal yang beroperasi secara berterusan dan mengendalikan jumlah transaksi yang tinggi memerlukan pemantauan serta penambahbaikan berterusan bagi memastikan tahap kestabilan dan daya tahannya sentiasa berada pada tahap optimum. Pada masa yang sama, proses
naik taraf sistem MyIMMs kepada MyNIISe sedang dijalankan secara berperingkat bagi meningkatkan kapasiti, keupayaan serta kualiti penyampaian
perkhidmatan kepada pengguna dan gangguan kepada operasi sedia ada ini telah diambil kira. - Sehubungan itu, Jabatan Imigresen Malaysia sedang melaksanakan beberapa langkah pengukuhan termasuk peningkatan kapasiti storan dan infrastruktur sistem, pengukuhan mekanisme pemantauan masa nyata (real-time monitoring), penambahbaikan pelan pemulihan gangguan serta
mempercepatkan pelaksanaan projek naik taraf MyIMMs bagi meningkatkan ketahanan dan kebolehpercayaan sistem pada masa hadapan. - KDN memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna sepanjang tempoh gangguan tersebut dan menghargai kesabaran serta
kerjasama yang diberikan. KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia kekal komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta
pengurusan pintu masuk negara dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan berkesan.
Kementerian Dalam Negeri
29 Mei 2026
