




Oleh: Sholina Osman
Foto: Jabatan Penerangan Perlis
3 JUN 2026
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan permohonan Kadar Baharu Cukai Tanah 2026 dengan sewajarnya bagi menyokong usaha pembangunan negeri Perlis serta memperkukuh kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
“Beta dimaklumkan bahawa cadangan tersebut tidak diluluskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) yang bersidang pada 2025 sebelum ini atas pertimbangan dasar, termasuk keperluan penelitian lanjut terhadap impak kepada rakyat dan sektor tertentu,” titah Baginda.
Baginda bertitah Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan untuk memperhalusi semula pelaksanaan, khususnya bagi semua kategori bagi tanah milik Persekutuan.
PERMOHONAN TERSEBUT DILULUSKAN
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah sekiranya permohonan tersebut diluluskan, hasil cukai negeri dianggarkan mencapai RM81.35 juta bagi tahun 2027 berbanding hasil semasa yang berjumlah RM26.93 juta pada masa ini.
“Beta juga mengambil maklum bahawa pelaksanaan ini mungkin memberi kesan kepada sebahagian rakyat,” titah Baginda sempena Perasmian Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Perlis Ke-15 di Kompleks Seri Putra di Kangar hari ini.
Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
SUMBER HASIL BAHARU
Tuanku Syed Sirajuddin dalam titah juga menekankan kepentingan usaha
menjana pendapatan kepada negeri serta meneroka sumber hasil baharu yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Titah Baginda dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin kompleks, Kerajaan Negeri perlu berani memikirkan kaedah-kaedah inovatif yang bersesuaian dengan potensi tempatan, termasuklah memperkasa sektor-sektor bernilai tinggi, menarik pelaburan strategik serta memanfaatkan kelebihan geografi dan sumber sedia ada.
Dalam hal ini, titah Baginda pendekatan yang diambil hendaklah berasaskan amalan terbaik yang telah terbukti berjaya, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa, dengan mengambil kira kesesuaian konteks negeri.
“Tumpuan wajar diberikan kepada inisiatif yang berimpak tinggi dan mampu menjana pulangan jangka panjang, bukannya program-program bersifat sementara yang kurang memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri,” titah Baginda. – JM
