


Oleh: Sholina Osman
Foto: UniMAP
3 JUN 2026
“Masuk dulu, kami bantu”. Itulah jaminan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terhadap mana-mana pelajar yang tidak berkemampuan tetapi cemerlang akademik supaya tidak terlepas peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Atas dasar itu UniMAP “turun padang” untuk menemui terus beberapa calon pelajar baharu yang berdepan kesukaran kewangan dengan memberi bantuan sewajarnya supaya terkabul impian untuk menjejakkan kaki ke menara gading.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, bersama pengurusan tertinggi universiti telah menziarahi pelajar terlibat bagi menilai keadaan serta keperluan mereka.
“Prinsip “masuk dulu, kami bantu” mencerminkan kesungguhan UniMAP dalam memastikan akses pendidikan tinggi tidak terhalang oleh faktor kewangan,” kata Dr Zaliman dalam kenyatan media.
KITA AKAN BANTU
“Jika ada masalah kewangan, masuk dahulu ke UniMAP. Kita akan bantu melalui pelbagai saluran termasuk Bantuan Kasih UniMAP,” tamba beliau.
Beliau berkata bahawa setiap pelajar yang berjaya mendapat tempat di UniMAP wajar diberikan peluang yang adil untuk meneruskan pengajian tanpa dibatasi kekangan ekonomi.
“Di UniMAP, kebajikan mahasiswa adalah komitmen berterusan kami. Tiada pelajar yang seharusnya tercicir hanya kerana masalah kewangan,” kata beliau.
“Dalam pada itu, UniMAP turut melaksanakan Inisiatif Bantuan Awal Pengajian yang telah diperkenalkan sejak tiga tahun lalu bagi membantu pelajar baharu membuat persediaan awal kemasukan ke kampus, meliputi kos perjalanan, keperluan asas, penginapan dan kelengkapan awal pengajian,” katanya.
PELBAGAI BENTUK SOKONGAN
Selain bantuan awal, beliau menjelaskan pihak universiti turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan sepanjang pengajian termasuk bantuan kewangan, bantuan kecemasan, bantuan makanan, khidmat kaunseling, program pembangunan sahsiah serta sokongan kesejahteraan mental mahasiswa.
Dr Zaliman berkata pendekatan menyeluruh ini selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh akses pendidikan tinggi serta memastikan kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan.
Salam seorang penerima bantuan ini, Nur Umi Qamarina Qistina Mohd Iswadi dari Pendang, Kedah, yang ditawarkan Diploma Kejuruteraan Teknologi Bahan
Beliau mendapat perhatian apabila sebelum ini terpaksa memohon bagi penangguhan pengajian selepas berdepan masalah kewangan bagi persediaan awal ke kampus.
DARIPADA KELUARGA SEDERHANA
Difahamkan, Nur Umi Qamarina Qistina berasal daripada keluarga sederhana di mana bapa bekerja sebagai tukang masak dan ibu tidak bekerja.
Remaja ini juga terpaksa membantu keluarga dengan bekerja sambilan di kedai makan di mana mereka sekeluarga juga masih tinggal di rumah sewa.
Seorang lagi pelajar ditawarkan Diploma Kejuruteraan Pembuatan iaitu Edwin Chan Jun Hong dari Kodiang, Kedah, yang kematian ibu kini tinggal bersama bapa yang bekerja kilang.
Edwin juga berhadapan dengan masalah kewangan sebagai cabaran utama untuk memulakan pengajian.
Kedua remaja ini melahirkan rasa syukur kerana dengan kunjungan pengurusan teratas UniMAP telah memberikan harapan baharu untuk mereka meneruskan impian mengejar ilmu di menara gading. – JM
