
Putrajaya : Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata meskipun Kerajaan Persekutuan tidak terlibat secara langsung dalam isu berkaitan kedudukan pemerintahan Negeri Sembilan, kemuliaan institusi diraja mesti kekal dipertahankan dan perlu melalui setiap kaedah serta peraturannya.
βJadi kita sebagai Kerajaan Persekutuan walaupun tidak terlibat secara langsung, harus memberikan nasihat terutamanya (mengenai) orang Melayu dan rakyat Malaysia, sistem Raja ini bukan saja namanya tetapi kemuliaannya dan beberapa kaedah serta peraturannya sebab itu bagi kita tetap pertahankan kedudukan dan kemuliaan dan kedaulatan Raja.
βKalau kita ikut sekarang susur galur setakat ini, kita tetap bekerja dan mengiktiraf kedudukan Yang Dipertuan Negeri Sembilan Tuanku Muhriz. (Saya) mohon supaya apa-apa pandangan yang lain dibuat mengikut jalur yang sah mengikut perlembagaan tanpa menimbulkan keresahan kepada rakyat,β katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti Puchong hari ini.
Sumber: Bernama
