UniMAP dua tahun ungguli Anugerah Kadar Graduan Pilihan MNC Tertinggi Tahun 2025

Oleh: Sholina Osman
7 JUN 2026
 
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus menjadi pilihan utama syarikat multinasional (MNC) apabila satu-satunya universiti awam (UA) di Malaysia menerima Anugerah Kadar Graduan Pilihan MNC Tertinggi Tahun 2025.
 
Pengiktirafan tersebut sekali gus membuktikan UniMAP kekal sebagai universiti pilihan syarikat multinasional bagi dua tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 2024 dan 2025.

Ini membuktikan tahap kepercayaan tinggi industri global terhadap kualiti, kompetensi dan kebolehpasaran graduan yang dilahirkan universiti ini.
 
Lebih membanggakan, UniMAP turut merekodkan kadar kebolehpasaran graduan (Graduate Employability, GE) sebanyak 99.3 peratus, sekali gus menerima Anugerah Kadar Bekerja Graduan Tertinggi Kategori Universiti Awam menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) Tahun 2025 yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

PALING MENDAPAT KEPERCAYAAN
 
Kejayaan berganda ini membuktikan bahawa graduan UniMAP bukan sahaja berjaya memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian, malah menjadi antara bakat yang paling mendapat kepercayaan dan pilihan syarikat multinasional dalam pelbagai sektor industri berteknologi tinggi.
 
Anugerah tersebut disampaikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Fazidah Mustafa dalam Majlis Anugerah Kebolehpasaran Graduan Tahun 2025 bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berlangsung pada 5 Jun 2026 di Belum Rainforest Resort.
 
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, pencapaian tersebut merupakan satu pengiktirafan besar kepada universiti dan membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan berteraskan industri yang dilaksanakan secara konsisten.

PILIHAN UTAMA SYARIKAT
 
“Menjadi universiti yang melahirkan graduan pilihan utama syarikat multinasional selama dua tahun berturut-turut merupaka pencapaian yang amat membanggakan. Ia mencerminkan keyakinan tinggi industri terhadap kualiti graduan UniMAP serta keberkesanan kerjasama strategik yang dibina bersama pelbagai pemain industri.
 
“Kepercayaan yang diberikan oleh syarikat-syarikat multinasional ini membuktikan bahawa graduan UniMAP memiliki pengetahuan, kemahiran teknikal dan kompetensi profesional yang diperlukan oleh industri global,” katanya.
 
Beliau berkata, hubungan erat yang terjalin antara UniMAP dan industri, khususnya dalam sektor semikonduktor, elektronik serta teknologi tinggi, terus menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat yang relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.

SELARI DENGAN ASPIRASI
 
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, pencapaian tersebut selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Strategik UniMAP 2026–2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat, pengukuhan sinergi industri dan peningkatan kebolehpasaran graduan.
 
Menurut beliau, pengiktirafan itu membuktikan strategi universiti dalam memperkasakan pembangunan modal insan berkualiti tinggi serta memperluaskan jaringan kerjasama industri di peringkat nasional dan antarabangsa terus membuahkan hasil yang cemerlang.
 
Dalam perkembangan berkaitan, UniMAP akan menganjurkan Karnival Kerjaya UniMAP NICE 2026 pada 9 hingga 10 Jun ini di Kampus Pauh yang dijangka menghimpunkan pelbagai syarikat multinasional, pemain industri utama serta organisasi terkemuka negara.

PELBAGAI PELUANG PEKERJAAN
 
Karnival tersebut bakal menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, latihan industri dan sesi temu duga terbuka kepada mahasiswa serta graduan, sekali gus memperkukuh usaha universiti dalam memastikan graduannya terus menjadi pilihan utama majikan.
 
Pencapaian sebagai universiti yang melahirkan graduan pilihan utama MNC selama dua tahun berturut-turut sertakadar kebolehpasaran graduan mencecah 99.3 peratus sekali lagi membuktikan keupayaan UniMAP dalam melahirkan bakat masa depan yang diyakini industri, relevan dengan keperluan semasa dan mampu bersaing di pentas global. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *