800 sertai ‘Nakawan Rainforest Run – 2nd Edition’ sempena Nakawan Rainforest Festival 2026

Oleh: Sholina Osman
6 JUN 2026

Kira-kira 800 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat menyertai ‘Nakawan Rainforest Run – 2nd Edition’ yang bermula dan berakhir di Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Perlis, sempena penganjuran Nakawan Rainforest Festival 2026.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan pelepasan bagi kategori larian sejauh 6 kilometer program tersebut.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Perlis, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni bersama barisan pegawai kanan jabatan.

PROGRAM LARIAN SANTAI

Program larian santai tersebut berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 10.30 pagi dan merupakan antara pengisian utama Nakawan Rainforest Festival 2026 yang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Perlis bermula 1 hingga 7 Jun 2026.

Penganjuran program ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat, menggalakkan aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi serta memperkenalkan khazanah hutan dan ekopelancongan negeri Perlis kepada masyarakat.

Dalam program yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pelepasan Fun Run Khas Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Perlis sejauh 3.8 kilometer.

MENAMPILKAN KONSEP REKREASI

Larian khas tersebut menampilkan konsep rekreasi berasaskan pendidikan dan konservasi dengan peserta melalui beberapa hentian menarik termasuk D’Kelulut, Pusat Konservasi Pelanduk dan Rimba Herba Perlis.

Peserta turut berpeluang menyertai aktiviti lawatan interpretif alam sekitar serta program penanaman pokok sebagai simbol komitmen terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.

Selain acara larian, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di kawasan bersebelahan iaitu Taman Eko Rimba Bukit Ayer sepanjang festival berlangsung.

PASAR WARISAN PERLIS

Antaranya ialah Pasar Warisan Perlis yang menawarkan jualan pelbagai makanan tradisional dan produk tempatan dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Pengunjung juga berpeluang mengikuti Program Cakna Tradisi Lisan Awang Batil yang menampilkan pameran serta aktiviti berkaitan warisan seni budaya negeri Perlis dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Turut menjadi tarikan ialah pelbagai Aktiviti Hutan yang merangkumi pameran pendidikan perhutanan, aktiviti riadah keluarga serta lokasi bergambar menarik yang membolehkan pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi dalam suasana santai dan harmoni.

Penganjuran Nakawan Rainforest Festival 2026 dilihat berjaya memperkukuhkan peranan Perlis sebagai destinasi ekopelancongan yang unik dan berpotensi tinggi, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan hutan sebagai warisan alam yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *