

Putrajaya, 8 Jun – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Sri Abd Halim Aman menggariskan lima prinsip utama sebagai teras kepimpinan beliau dalam menerajui SPRM, dengan penekanan awal diberikan kepada aspek integriti tanpa kompromi dan usaha membina kepercayaan rakyat.
Menurutnya, hala tuju kepimpinan yang bakal dibawa adalah berasaskan lima prinsip iaitu Integriti Tanpa Kompromi, Penguatkuasaan Yang Adil, Pencegahan Lebih Baik Daripada Hukuman, Teknologi dan Ketelusan serta Membina Kepercayaan Rakyat.
“Pemimpin perlu menunjukkan teladan melalui ketelusan, disiplin dan keberanian membuat keputusan walaupun melibatkan pihak yang berpengaruh besar.
“Saya ingin tegaskan bahawa bukan sahaja dengan pihak luar, malah sesama pegawai dan kakitangan SPRM sendiri, sebarang bentuk salah laku tidak akan dilayan dan tiada kompromi,” katanya dalam ucapan sulungnya di Perhimpunan Bulanan SPRM Bilangan 3 Tahun 2026 di Auditorium, Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan penglibatan warga SPRM dalam apa jua bentuk salah laku sama ada ketika bertugas atau di luar waktu kerja tidak akan diterima atau dilindungi kerana ia boleh mencemarkan imej dan reputasi institusi berkenaan.
Bagaimanapun, beliau percaya majoriti warga SPRM adalah pegawai yang berdedikasi, berintegriti dan sentiasa menghasilkan prestasi kerja membanggakan sehingga membolehkan agensi itu menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat nasional serta antarabangsa.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Abd Halim berkata, pencapaian SPRM sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan keberkesanan usaha penguatkuasaan yang dilaksanakan.
Beliau memaklumkan sebanyak 2,633 kertas siasatan telah dibuka sejak tahun 2024 hingga kini, yang membawa kepada 1,095 pertuduhan dan 563 sabitan.
Selain itu, katanya, SPRM turut membuka siasatan terhadap lebih 583 kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam sejak 2023, sekali gus membuktikan ketegasan agensi itu dalam menangani kes rasuah tanpa mengira kedudukan atau pengaruh pihak terlibat.
Mengulas usaha pemulihan aset, beliau berkata sehingga April 2026, sebanyak 115 permohonan pelucuthakan harta telah difailkan di mahkamah berbanding 179 permohonan bagi keseluruhan tahun lalu.
“SPRM berjaya merekodkan sitaan berjumlah RM16.49 juta, pembekuan aset RM425,464.60 dan pelucuthakan harta sebanyak RM3.42 juta, manakala kompaun berjumlah RM10.47 juta telah dikutip,” katanya.
Beliau menegaskan usaha mengembalikan hasil jenayah yang dicuri daripada negara akan terus diperkukuhkan sebagai mesej jelas kepada golongan perasuah bahawa tindakan tegas akan terus diambil.
Menyentuh prinsip membina kepercayaan rakyat, Dato’ Sri Abd Halim berkata, kekuatan SPRM bergantung kepada keyakinan masyarakat terhadap kebebasan, profesionalisme dan keadilan institusi ini dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan semua pegawai SPRM akan diarahkan membuat perisytiharan harta dalam tempoh sebulan sebagai langkah memperkukuh ketelusan dan integriti organisasi.
“Sebagai mempelopori usaha ini, ia akan dimulai dengan penyistiharaan harta oleh saya sendiri, selaku Ketua Pesuruhjaya. Satu pekeliling mengenai mekanismenya akan dikeluarkan kelak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan warga SPRM supaya tidak meminta masyarakat mempercayai integriti institusi ini sekiranya nilai berkenaan gagal dipamerkan melalui tindakan harian.
Katanya, setiap tugas dan kuasa yang diberikan kepada pegawai SPRM perlu dilaksanakan secara adil, profesional, telus dan penuh integriti selaras dengan mandat yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa budaya bekerja sambil lewa, amalan pilih kasih atau “double standard” serta sikap mengabaikan tanggungjawab tidak boleh dibiarkan berakar dalam organisasi.
Sebaliknya, beliau mahu SPRM terus menjadi sebuah organisasi yang pantas bertindak, tepat membuat keputusan dan profesional dalam setiap tindakan.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Abd Halim turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki atas jasa dan kepimpinan beliau sepanjang menerajui SPRM serta seluruh warga SPRM yang telah berkhidmat dan berjuang sehingga SPRM terus berdiri sebagai agensi penguatkuasaan utama negara.
Turut hadir Timbalan-timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengarah-pengarah Kanan SPRM, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.
