RAMPASAN BERAS TIDAK DIISYTIHARKAN DI KOMPLEKS ICQS BUKIT KAYU HITAM

Bukit Kayu Hitam, 8 Jun 2026 – Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam telah mengesan cubaan menyeludup beras putih yang tidak diisytiharkan dalam satu pemeriksaan di Balai Pemeriksaan Kesihatan Blok E, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

Kejadian dikesan selepas pegawai menerima dokumen bagi satu konsainan yang diikrarkan membawa temukut. Susulan itu, motolori bersama konsainan berkenaan telah dirujuk ke Balai Pemeriksaan Kesihatan Blok E untuk tujuan pemeriksaan menyeluruh.

Berdasarkan dokumen pengisytiharan, konsainan tersebut membawa 32 jumbo bag temukut dengan jumlah berat keseluruhan 33,040 kilogram.

Hasil pemeriksaan mendapati hanya 12 jumbo bag yang mengandungi temukut diletakkan di bahagian atas muatan, manakala 20 jumbo bag lagi didapati berisi beras putih yang tidak diisytiharkan, dipercayai cuba diseludup dengan menyembunyikannya di bawah timbunan temukut.

Pemeriksaan lanjut ke atas 20 jumbo bag tersebut mendapati setiap satu mempunyai berat kira-kira 1,030 kilogram, menjadikan anggaran berat keseluruhan beras yang dirampas sebanyak 20,600 kilogram dengan nilai anggaran sekitar RM64,000.00. Beras berkenaan tidak mempunyai pengisytiharan kastam yang sah.

Sehubungan itu, sebuah motolori trelar yang dipandu oleh seorang lelaki warganegara Malaysia berusia lingkungan 20-an bersama muatan beras tersebut telah disita di Balai Pemeriksaan Kesihatan Blok E, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

Kes seterusnya akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, YDH SAC Fauzi bin Mohd Yusof berkata:

“AKPS akan terus memperkukuhkan kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi memastikan setiap barangan yang dibawa masuk atau keluar mematuhi peraturan yang ditetapkan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengelak daripada membuat pengisytiharan atau menyeludup barangan bagi mengelakkan kerugian hasil negara serta melindungi kepentingan keselamatan dan ekonomi negara.”

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *