






Oleh: Sholina Osman
10 JUN 2026
Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Parlimen Padang Besar terus memainkan peranan penting sebagai pusat pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti, pendidikan serta latihan kemahiran yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
Pengarah KEMAS Negeri Perlis, Mohamad Zaki Ismail menyatakan, pelbagai program yang dilaksanakan oleh KEMAS bertujuan memperkasakan masyarakat melalui pembangunan kemahiran, peningkatan taraf ekonomi dan pembelajaran sepanjang hayat.
“KEMAS Perlis mempunyai seramai 298 orang warga kerja yang sentiasa komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab bagi memastikan setiap program serta perkhidmatan KEMAS dapat dinikmati oleh masyarakat dengan sebaik-baiknya,” katanya.
KAYUHAN KEMAS-MAIPs
Maklumat tersebut dipersembah maklumkan oleh Mohamad Zaki ketika mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Program Kayuhan KEMAS-MAIPs Peduli di sekitar Padang Besar.
Turut berangkat sama ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Program Kayuhan KEMAS-MAIPs Peduli merupakan inisiatif kayuhan berbasikal yang diterajui sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Program tersebut menjadi platform turun padang bagi menyantuni masyarakat setempat di samping menyalurkan pelbagai bentuk bantuan zakat secara terus kepada golongan yang memerlukan.
PENYAMPAIAN SUMBANGAN MAIPs
Sempena program berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih iaitu Intan Daros, 73, dari Kampung Alor Tampang, Matt Ali Matt Isa, 67, serta Asri Matt Rose, 52, yang turut berasal dari kampung yang sama.
Selain itu, Baginda turut berkenan mengadakan lawatan ke PKM Alor Tampang bagi meninjau aktiviti yang dijalankan di Bengkel Jahitan KEMAS dan Bengkel Seni Tangan KEMAS yang menjadi antara platform pembangunan kemahiran serta penjanaan pendapatan komuniti setempat.
Program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan KEMAS dan MAIPs dalam memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan turun padang yang menyeluruh, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dan kebajikan dapat dirasai secara langsung oleh golongan yang memerlukan. – JM
