
KUALA NERUS, 11 Jun- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan kemahiran insaniah atau ‘soft skill’ dikenal pasti sebagai elemen utama dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan di pasaran kerja.
Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Datuk Jamalulail Abu Bakar berkata setiap tahun antara 90,000 hingga 100,000 graduan yang menganggur berdepan cabaran dalam aspek berkenaan ketika sesi temu duga.
Menurutnya, dapatan pengesanan graduan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan majikan memberi penekanan terhadap kemahiran insaniah dalam proses pemilihan.
“Selain pencapaian akademik, kemahiran yang penting termasuk komunikasi, penguasaan bahasa Inggeris serta keyakinan diri,” katanya pada Program Syarahan Kebitaraan Mahasiswa di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.
Datuk Jamalulail berkata kemahiran itu perlu diperkukuh di peringkat pengajian tinggi melalui penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti universiti dan program pembangunan diri.
“Pengalaman di luar bilik kuliah membantu mahasiswa mengasah kemahiran insaniah yang diperlukan dalam dunia pekerjaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan mahasiswa meneroka bidang keusahawanan sebagai laluan kerjaya serta potensi menjana peluang pekerjaan kepada orang lain.
Sumber berita: RTM
