PMX terima kunjungan hormat delegasi Ericsson diketuai Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 JUN 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat delegasi Ericsson yang diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Börje Ekholm.

Beliau berkata pertemuan ini memberi ruang membincangkan perkembangan teknologi digital, peluasan penggunaan 5G serta potensi kerjasama yang lebih erat bagi memperkukuh ekonomi digital negara.

Jelas beliau turut dibincangkan keperluan membangunkan rangkaian telekomunikasi yang lebih hijau dan mampan, selari dengan aspirasi Pelepasan Sifar Bersih negara. Pada masa sama, lebih banyak syarikat perlu memanfaatkan teknologi 5G bagi meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing.

“Saya menghargai keyakinan Ericsson terhadap Malaysia, khususnya pengiktirafan terhadap kemajuan negara dalam membangunkan infrastruktur digital yang kukuh, termasuk rangkaian 5G, pusat data serta usaha memperteguh keselamatan dan kedaulatan digital,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Anwar juga menyambut baik komitmen Ericsson dalam membangunkan bakat tempatan menerusi program latihan, pemindahan teknologi serta kerjasama dengan universiti dan institusi pendidikan tempatan. Usaha ini penting bagi melahirkan tenaga mahir yang bersedia mendepani tuntutan ekonomi masa hadapan.

“Malaysia menghargai hubungan baik yang telah terjalin dengan Ericsson sejak sekian lama dan saya yakin kerjasama ini akan terus diperkukuh berasaskan kestabilan serta kepercayaan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital serta kemakmuran negara,” ujar Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *