



Oleh: Sholina Osman
13 JUN 2026
Lapan buah rumah di Kampung Seberang Alor di Kuala Perlis hangus dalam kejadian kebakaran pada awal pagi ini.
Pengarah Bomba Perlis Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata pihaknya telah menerima panggilan pukul 3.38 pagi dan tiba di lokasi kejadian dua minit kemudian.
“Semua penghuni selamat termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) berjaya dikeluarkan dari lokasi kebakaran,” kata beliau pada sidang media di lokasi kebakaran tengah hari ini.
OPERASI KAWALAN KEBAKARAN
Wan Mohd Hamizi berkata operasi kawalan kebakaran ini melibatkan 30 anggota dari dua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Kangar dan Kuala Perlis.
Beliau berkata operasi ini turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kuala Perlis, Simpang Empat, Pauh dan Padang Besar.
Jelas beliau kebakaran ini melibatkan rumah Kelas B iaitu separuh batu dan separuh kayu.
KEBAKARAN BERJAYA DIKAWAL
Bagaimanapun katanya kebakaran berjaya dikawal dari terus merebak ke rumah berdekatan yang begitu rapat antara satu sama lain.
Sementara itu Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dr Abdul Salim Tajudin berkata pihaknya mengenalpasti dua buah rumah milik nelayan terlibat dalam kebakaran berkenaan.
“LKIM menghulurkan bantuan segera kepada dua rumah nelayan yang melibatkan enam ahli keluarga,” katanya kepada media selepas melawat ke lokasi kebakaran.
Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan nilai kerugian akibat kebakaran itu dahulu sebelum menghulurkan bantuan sewajarnya bagi membantu meringankan beban mangsa. – JM
