Raja Muda Perlis sampaikan sumbangan MAIPs kepada mangsa kebakaran di Kampung Seberang Alor

Oleh: Sholina Osman
Foto: MAIPs
13 JUN 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menziarahi dan menyampaikan sumbangan awal daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sebanyak lapan buah keluarga kehilangan rumah masing-masing yang hangus dalam insiden kebakaran pada awal pagi tadi.

TIADA KEHILANGAN NYAWA

Tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Pendidikan, Perpaduan, dan Kebajikan & Pembasmian Kemiskinan Datin Marzita Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, serta kepimpinan setempat.

Baginda dipersembah taklimat oleh Pengarah Bomba Perlis Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin, dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra meluangkan masa beramah mesra dengan setiap keluarga mangsa bagi menzahirkan ucapan takziah serta menyerahkan bantuan kecemasan MAIPs untuk meringankan beban mereka.

Baginda turut menitahkan amanat penting mengenai keselamatan komuniti iaitu dengan menggesa rakyat sentiasa memeriksa sistem pendawaian elektrik rumah secara berkala bagi mengelakkan litar pintas.

Titah baginda Sentiasa matikan suis dan cabut palam peralatan elektrik yang tidak digunakan sebelum keluar rumah, serta elakkan menggunakan soket secara berlebihan.”

“Kikis sikap ‘3L’ iaitu Lupa, Lalai, dan Leka, terutamanya ketika memasak atau mengendalikan bahan mudah terbakar.

Kesedaran awal ini sangat penting bagi melindungi keselamatan nyawa dan harta benda jiran tetangga,” titah Tuanku Raja Muda.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini sedang menyelaraskan bantuan susulan, untuk kesemua mangsa yang terjejas.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *