


Oleh: Sholina Osman
Foto: UniMAP
13 JUN 2026
Hampir 2,000 pelajar baharu mendaftar bagi pengajian peringkat Diploma bagi Sidang Akademik 2026/2027 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini.
Kenyataan media UniMAP memaklumkan daripada jumlah tersebut, seramai 649 pelajar merupakan anak-anak daripada keluarga golongan B40.
Ia jelas membuktikan UniMAP menyediakan akses pendidikan tinggi berkualiti kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, kemasukan pelajar baharu itu membuktikan keyakinan masyarakat terhadap peranan UniMAP sebagai sebuah universiti teknikal yang bukan sahaja menawarkan pendidikan berkualiti, malah menjadi platform mobiliti sosial yang mampu mengubah kehidupan pelajar dan keluarga mereka.
PELAJAR YANG TERCICIR
“UniMAP sentiasa komited untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mendapatkan pendidikan tinggi hanya disebabkan kekangan kewangan,” kata beliau.
Zaliman berkata kemasukan 649 pelajar daripada golongan B40 pada sesi kali ini membuktikan bahawa universiti ini terus menjadi pilihan dan harapan kepada anak-anak yang ingin mengubah masa depan melalui pendidikan.
Menurut beliau, UniMAP sentiasa komited memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa terpelihara melalui pelbagai inisiatif sokongan yang disediakan.
PELBAGAI BENTUK BANTUAN
“UniMAP menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada pelajar yang memerlukan termasuk bantuan kewangan, kebajikan, kemudahan penginapan dan program pembangunan pelajar bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus dan menamatkan pengajian dengan cemerlang,” kata Zaliman.
Beliau percaya pendidikan merupakan instrumen terbaik untuk memutuskan rantaian kemiskinan.
Justeru itu kata Zaliman UniMAP akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah agar mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembelajaran dan pembangunan diri.
SEJAK AWAL PAGI
Sementara itu, suasana pendaftaran yang berlangsung sejak awal pagi menyaksikan kehadiran pelajar bersama ibu bapa dan penjaga yang hadir bagi mengiringi anak-anak mereka memulakan perjalanan baharu sebagai warga UniMAP.
Kemasukan pelajar baharu ini dijangka akan menyemarakkan lagi ekosistem pembelajaran dan pembangunan bakat di UniMAP selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan teknikal yang kompeten dan berdaya saing serta mampu memenuhi keperluan industri dan negara pada masa hadapan. – JM
