Keamanan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pertimbangan politik semata-mata – PMX

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 JUN 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keamanan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pertimbangan politik semata-mata.

Sehubungan itu Anwar berkata dalam suasana dunia yang semakin sarat dengan konflik, perpecahan dan ketidaktentuan, peranan pemimpin agama sebagai suara nurani, kesederhanaan serta kebijaksanaan menjadi semakin penting.

Jelas Anwar nilai kemanusiaan, keadilan dan ihsan mesti terus menjadi panduan dalam mendepani pelbagai krisis yang sedang melanda dunia, termasuk tragedi kemanusiaan yang berterusan di Gaza dan beberapa wilayah lain.

PRINSIP SALING MENGHORMATI

Tambah beliau Malaysia kekal berpegang kepada prinsip saling menghormati, hidup dalam kepelbagaian serta menjunjung kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Sebagai sebuah negara majmuk, kita percaya bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada keseragaman, tetapi pada keupayaan mengurus perbezaan dengan adil, bijaksana dan penuh hormat,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Terdahulu Anwar menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga yang menghimpunkan pemimpin agama, ulama, cendekiawan, ahli akademik dan pembuat dasar dari 31 negara.

SEMBAH MENJUNJUNG KASIH

Perdana Menteri juga merafak sembah menjunjung kasih di atas limpah perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyampaikan ucaptama merasmikan Sidang Kemuncak ini.

Anwar turut mengingatkan bahawa agama tidak seharusnya menjadi alat untuk menyemarakkan kebencian atau permusuhan.

Sebaliknya, kata Anwar ia mesti terus menjadi sumber damai, perpaduan dan pembelaan terhadap maruah insan tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.

“Mudah-mudahan dialog dan wacana seperti ini akan terus memperkukuh persefahaman antara masyarakat serta menyuntik harapan bahawa dunia yang lebih aman, adil dan berperikemanusiaan masih mampu kita bina,” tambah Anwar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *