



Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
14 JUN 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat gerakan koperasi pada sudut yang lebih luas daripada keuntungan atau pulangan dividen semata-mata.
Sebaliknya kata beliau koperasi sebenarnya membawa gagasan yang besar yakni membina kekuatan ekonomi rakyat melalui penyertaan lebih luas dan perkongsian manfaat yang lebih adil, berbanding kekayaan yang hanya dimonopoli segelintir pihak yang mempunyai kekuatan modal dan pengaruh.
“Dari situlah lahirnya perbahasan tentang keadilan sosial dan demokrasi sosial. Kerana demokrasi yang sebenar tidak hanya soal merebut kuasa, tetapi demokrasi terbaik adalah membuka ruang kepada rakyat untuk mengambil bahagian dalam kehidupan ekonomi dan menikmati hasil pembangunan negara,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan KOPROJAYA Kali Ke-10 di Putrajaya.
SEBAGAI WAHANA PENTING
Anwar menjelaskan maka kerana itulah Bung Hatta di Indonesia melihat koperasi sebagai wahana penting untuk mencapai pemerataan ekonomi dan keadilan sosial.
“Beliau percaya bahawa masa depan Indonesia yang merdeka tidak boleh dibina atas penguasaan kekayaan oleh kelompok tertentu, tetapi mesti bertunjangkan penyertaan rakyat yang lebih luas dalam ekonomi,” tambah beliau.
Beliau berkata di India pula, Dr Ambedkar mengingatkan bahawa demokrasi tidak bermakna jika ia gagal merungkai sistem yang menindas dan mengekalkan jurang yang memisahkan masyarakat.
SELAMA INI TERPINGGIR
Jelas Anwar demokrasi yang sebenar mesti memberi ruang kepada golongan yang selama ini terpinggir untuk turut menikmati peluang dan kemajuan yang dikecapi negara.
“Prinsip sama telah lama terpancar dalam ajaran Islam melalui semangat ta’awun atau kerjasama dalam kebaikan,” kata beliau.
Beliau berkata ia mengajar bahawa kelompok yang lemah tidak boleh dibiarkan berdepan cabaran secara bersendirian, sebaliknya perlu dihimpunkan kekuatan mereka agar mampu berdiri lebih teguh dan membina masa depan yang lebih baik bersama-sama.
ANTARA INSTRUMEN PENTING
“Justeru, saya melihat koperasi sebagai antara instrumen penting demokrasi sosial. Ia memperluas penyertaan, memperkasa rakyat dan memastikan manfaat pertumbuhan tidak hanya berlegar dalam kalangan segelintir, tetapi dinikmati seramai mungkin anggota masyarakat,” tambah beliau.
Dalam kerangka MADANI, kata beliau apa yang dimahukan adalah menjana pertumbuhan, menarik pelaburan dan meneroka bidang-bidang baharu seperti kecerdasan buatan, transformasi digital dan peralihan tenaga.
Namun kemajuan ini kata beliau hanya bererti apabila hasilnya dapat diagihkan secara adil dan dirasai rakyat terbanyak.
“Keadilan bukan bererti memberi perkara yang sama kepada semua. Keadilan bererti memastikan setiap rakyat mendapat peluang mengikut keperluan dan keadaan masing-masing. Inilah yang dimaksudkan dengan keadilan sosial dan adil wal ihsan, memastikan kemajuan negara menjunjung martabat manusia dan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat,” ujar beliau. – JM
