PMX terima kunjungan Setiausaha Agung Rabithah al-Alam al-Islami

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
14 JUN 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Setiausaha Agung Rabithah al-Alam al-Islami (Muslim World League), Sheikh Dr Mohammad bin Abdulkarim Alissa di Putrajaya petang tadi.

Beliau berkata antara mereka bertukar pandangan mengenai perkembangan dunia Islam serta usaha memperkukuh persefahaman antara agama.

“Kami menyentuh kejayaan Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3 di Kuala Lumpur baru-baru ini yang berjaya menghimpunkan tokoh agama, cendekiawan dan pemimpin masyarakat dari pelbagai latar belakang serta negara,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

MERAPATKAN JURANG PERBEZAAN

Beliau berkata platform ini amat penting dalam membina persefahaman, merapatkan jurang perbezaan serta memupuk budaya dialog yang matang.

Beliau turut berkongsi pandangan mengenai peranan Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara dunia Islam dengan masyarakat antarabangsa, termasuk usaha membina jambatan persefahaman antara Timur dan Barat.

“Saya menghargai peranan aktif badan ini dalam mempromosikan kesederhanaan, keamanan serta kerjasama rentas agama pada saat dunia berdepan pelbagai konflik dan ketegangan yang semakin meruncing,” kata Anwar.

Dalam pertemuan ini, beliau berkata antara mereka turut menyentuh kedudukan dunia Islam serta keperluan untuk memperkukuh kekuatan umat melalui pendidikan, pembangunan ekonomi, penguasaan ilmu dan teknologi, di samping mengangkat nilai keadilan, ihsan dan kemanusiaan sejagat.

“Kami juga sepakat bahawa masa depan yang lebih aman dan stabil hanya dapat dibina melalui dialog yang berterusan, sikap saling menghormati serta keterbukaan menjalin hubungan lebih erat antara masyarakat dan penganut pelbagai agama di seluruh dunia,” tambah Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *