
15 Jun 2026
- Penantian selama 44 tahun penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara untuk mendapatkan
perumahan yang dijanjikan akhirnya memasuki fasa penyelesaian dengan pelaksanaan
pembangunan rumah ganti yang dimulakan hari ini. - Saya ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar
Ibrahim atas komitmen beliau dalam memastikan isu yang telah berlarutan merentasi
beberapa pentadbiran ini dapat diselesaikan secara tuntas. Pendirian Kerajaan MADANI
yang menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, memelihara Taman Rimba Kiara
dan pada masa yang sama memastikan kebajikan penduduk terus terbela telah
memungkinkan penyelesaian ini direalisasikan. - Pembangunan ini membuktikan bahawa keperluan perumahan rakyat dan pemeliharaan
alam sekitar boleh dilaksanakan secara seiring melalui pendekatan yang mengutamakan
kepentingan awam dan kesejahteraan komuniti. - Sejak tahun 2018, saya bersama penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, Persatuan
Penduduk Taman Tun Dr Ismail, Friends of Bukit Kiara (FOBK), wakil komuniti dan
pelbagai pihak berkepentingan telah memperjuangkan penyelesaian yang memastikan
penduduk mendapat perumahan yang bermaruah tanpa mengorbankan pemeliharaan
Taman Rimba Kiara. - Penyelesaian yang dicapai hari ini bukan berlaku dalam sehari. Ia merupakan hasil
pelbagai siri perbincangan, rundingan dan mesyuarat yang melibatkan pelbagai pihak
selama bertahun-tahun bagi mencari jalan penyelesaian yang dapat diterima semua
pihak.
Pendekatan berasaskan konsensus inilah yang akhirnya membolehkan satu
penyelesaian yang adil dan mampan dicapai.
- Penyelesaian yang dicapai hari ini berasaskan beberapa prinsip utama yang dipersetujui
bersama:
- Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara menerima rumah ganti yang telah lama
dijanjikan; - Pembangunan dihadkan kepada kawasan seluas 5.76 ekar sahaja;
- Baki tanah diserahkan semula kepada Kerajaan untuk diwartakan sebagai Kawasan
Lapang Awam; - Rumah ganti dibangunkan dan disiapkan terlebih dahulu bagi membolehkan penduduk
berpindah terus ke kediaman baharu tanpa perlu melalui penempatan sementara; - Audit bersama melibatkan DBKL, FOBK dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia
(FRIM) dilaksanakan bagi memastikan pengurusan, pemeliharaan dan perlindungan
pokok-pokok di kawasan pembangunan; - Tapak kuil sedia ada dikekalkan dan dizonkan secara rasmi sebagai Tapak Rumah
Ibadat Bukan Islam (RIBI); dan - Jumlah lot tempat letak kereta untuk Taman Rimba Kiara bertambah daripada 80 ke
150 lot.
- Saya juga ingin merakamkan penghargaan khusus kepada wakil rumah panjang
saudara Sivakumar Muniandy yang telah bersama saya memperjuangkan penyelesaian
isu ini selama 8 tahun. Ketaki pelbagai cabaran dan tekanan dihadapi, beliau kekal
konsisten mempertahankan prinsip bahawa penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara
berhak mendapat perumahan yang bermaruah dan Taman Rimba Kiara perlu terus
dipelihara untuk generasi akan datang. - 9. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan
peranan dalam perjalanan panjang ini. Isu ini telah melalui penelitian dan semakan
pelbagai institusi negara daripada legislatif melalui prosiding Jawatankuasa Kira-Kira
Wang Negara (PAC) kepada badan kehakiman yang mendengar dan memutuskan
perkara ini sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan, sebelum akhirnya Kerajaan
MADANI di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengambil
keputusan untuk melaksanakan penyelesaian dan menunaikan komitmen kepada
penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara.
Terima kasih juga kepada Datuk Bandar Kuala
Lumpur, Ybhg. Datuk Seri TPr. Fadlun Mak Ujud kerana membantu mempercepatkan
proses kelulusan Kebenaran Merancang ke atas pembangunan Rumah Panjang Bukit
Kiara mengikut perundangan sedia ada.
Penyelesaian yang dicapai hari ini membuktikan bahawa pembangunan bandar tidak
semestinya berlaku dengan mengorbankan kepentingan komuniti atau alam sekitar.
Sebaliknya, dengan komitmen, kesabaran dan kerjasama semua pihak, keseimbangan
antara pembangunan, pemuliharaan dan keadilan sosial boleh dicapai.
- Selepas 44 tahun, penyelesaian yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil akhirnya
berjaya direalisasikan.
HANNAH YEOH
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(WILAYAH PERSEKUTUAN)
