Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara langkah penyelesaian setelah 44 tahun – PMX

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
15 JUN 2026

Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara adalah langkah tuntas ke arah penyelesaian yang sekian lama dinantikan setelah 44 tahun menghuni penempatan sementara dalam serba keterbatasan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hari ini merupakan detik yang amat bermakna dan membahagiakan, bukan sahaja buat penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, malah menjadi bukti bahawa pentadbiran yang berteraskan nilai MADANI sentiasa mengangkat keadilan, ihsan dan martabat rakyat sebagai keutamaan.

“Kerajaan yang meneliti jalan terbaik bagi merungkai permasalahan yang berlarutan sejak sekian lama dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat demi memastikan penduduk memperoleh hak serta jaminan kehidupan yang lebih teratur dan bermaruah,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Terdahulu Anwar menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara hari ini.

MENGHORMATI PROSES PERUNDANGAN

Anwar berkata pengalaman ini mengajar semua tentang pentingnya menghormati proses perundangan serta institusi negara dan Kerajaan tetap berpegang teguh kepada prinsip.

“Hakikatnya hak dan kebajikan golongan yang memerlukan mesti terus dipelihara dengan keadilan yang dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang selain memastikan agenda membela nasib golongan miskin bandar terus menjadi keutamaan,” kata beliau.

Anwar berkata pembangunan yang dilaksanakan mestilah bersifat inklusif dan membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat, kerana kemajuan sebenar sesebuah negara hanya bermakna apabila tiada rakyat yang tercicir atau dipinggirkan daripada arus pembangunan.

Di majlis tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan geran berjumlah RM1 juta.

Anwar berkata ia bagi membantu meringankan beban penduduk rumah panjang melalui penyediaan subsidi penyelenggaraan kediaman untuk tempoh tiga tahun yang akan diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Ia sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk terus terpelihara selepas mereka berpindah ke penempatan baharu,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *