UniMAP bantah dakwaan wujud amalan “jual tempat”, guna “pintu belakang ke Universiti Awam

Oleh: Sholina Osman
16 JUN 2026
 
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membantah sekeras-kerasnya berhubung dakwaan berlaku amalan “menjual tempat” dan kemasukan melalui “pintu belakang” ke Universiti Awam (UA) seperti dinyatakan dalam satu ceramah umum yang tular di media sosial baru-baru ini.
 
Naib Canselornya Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja tidak berasas malah berpotensi menjejaskan reputasi institusi pendidikan tinggi awam serta menghakis keyakinan masyarakat terhadap sistem kemasukan pelajar ke UA.
 
“UniMAP menolak sekeras-kerasnya sebarang dakwaan bahawa wujud amalan ‘menjual tempat’ atau kemasukan melalui ‘pintu belakang’ ke UA.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan seorang ahli politik dalam satu ceramah umum yang mendakwa terdapat amalan menjual tempat pengajian dan kemasukan pelajar yang tidak layak ke UA melalui saluran tertentu.

MENCEMARKAN REPUTASI INSTITUSI
 
Zaliman menjelaskan tuduhan sedemikian bukan sahaja tidak berasas, malah mencemarkan reputasi institusi pendidikan tinggi awam yang selama ini beroperasi berlandaskan prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan media.

Ujarnya lagi, sistem kemasukan ke UA di Malaysia dilaksanakan mengikut dasar, syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan agensi berkaitan.

Jelas beliau sistem kemasukan pelajar ke UA bukanlah sesuatu yang boleh dimanipulasi sesuka hati oleh mana-mana pihak.

“Ia dilaksanakan melalui proses yang telus, sistematik dan boleh diaudit sekaligus menjamin keadilan dan peluang yang sama kepada semua calon yang layak,” katanya.

MENIMBULKAN PERSEPSI NEGATIF

Ujar beliau, UniMAP memandang serius kenyataan yang dibuat dalam ceramah tersebut kerana ia boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap UA dan sistem pendidikan tinggi negara secara keseluruhannya.
 
“Kami memandang serius kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat dan menimbulkan persepsi negatif terhadap UA,” tegas Zaliman.
 
Sehubungan itu kata beliau dakwaan tanpa bukti bukan sahaja menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan tinggi negara, malah boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan pihak berkepentingan.

Tambah Zaliman, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi awam yang menjunjung prinsip tadbir urus yang baik, UniMAP tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang boleh menjejaskan integriti sistem kemasukan pelajar.

ADALAH BERDASARKAN KELAYAKAN

“Setiap calon yang diterima masuk adalah berdasarkan kelayakan dan memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UniMAP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir yang mewakili pengurusan UniMAP telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap dakwaan berkenaan.

“Kami menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa,” kata beliau.

Jelas beliau pada masa sama, UniMAP akan terus mempertahankan nama baik universiti dan kredibiliti sistem pendidikan tinggi negara daripada sebarang dakwaan yang tidak berasas.

Tambahnya, kebebasan bersuara tidak seharusnya digunakan untuk menyebarkan dakwaan yang tidak dapat dibuktikan dan UniMAP percaya setiap kenyataan yang dibuat di ruang awam perlu disandarkan kepada fakta yang sahih demi menjaga keharmonian masyarakat dan kelestarian institusi pendidikan negara.  – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *