



Foto: YTSP Perlis
17 JUN 2026
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.
Pengiktirafan itu diberikan bagi menghargai sumbangan Syed Hussian kepada ekonomi negara serta kejayaannya memacu pertumbuhan organisasi serta transformasi industri tempatan.
Anugerah itu disampaikan pada Majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Raja Perlis di Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiah (MADI), di Kampung Jejawi Dalam.
Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut berangkat, anakanda-anakanda Baginda berdua, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
MELEBIHI EMPAT DEKAD
Syed Hussian yang juga anak kelahiran Arau, Perlis diiktiraf berikutan pengalaman luas beliau melebihi empat dekad dalam pelbagai sektor termasuk bidang teknologi, media, insurans dan pembangunan perniagaan.
Ketokohan beliau bukan sahaja terserlah melalui pencapaian perniagaan yang cemerlang, malah komitmen berterusan dalam memperkasa masyarakat dan memajukan industri teknologi.
Beliau turut komited memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang berusaha memperkasakan masyarakat berpendapatan rendah melalui pembiayaan mikro.
BERJAYA MEMPERLUASKAN OPERASI
Sebelum menyertai Media Prima, Syed Hussian pernah berkhidmat lebih 20 tahun bersama Western Digital serta berjaya memperluaskan operasi melalui pelaburan langsung asing (FDI) mencecah RM18 bilion.
Kejayaan di bawah kepemimpinannya itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi dan pembuatan bertaraf global ketika itu.
Komitmen beliau turut terserlah dalam pembangunan modal insan menerusi penglibatan dalam bidang pendidikan tinggi, termasuk sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Adjung Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Multimedia (MMU).
Penganugerahan itu mencerminkan penghargaan terhadap sumbangan berterusan beliau dalam memajukan industri, memperkasa keusahawanan dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara. – SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE
