




20 Jun 2026
Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim malam tadi ke Seremban untuk menghadiri Majlis Makan Malam Rimbunan Hati anjuran Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia bersama sahabat-sahabat lama yang setia bersama dalam perjuangan sejak sekian lama.
Menurut PMX, beberapa hari lalu beliau berada di Rusia dan Turkmenistan untuk mengadakan beberapa pertemuan penting demi memastikan masa depan negara terus terjamin, khususnya dalam aspek tenaga tatkala dunia berdepan pelbagai ketidaktentuan dan cabaran baharu.
Beliau tiba di tanah air sekitar jam 3.30 pagi sebelum meneruskan tugasan di Pulau Pinang dan seterusnya ke Seremban.
” Keletihan itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan amanah untuk memastikan anak-anak kita mewarisi sebuah negara yang aman, stabil dan mempunyai masa depan yang lebih baik.
” Saya percaya kepimpinan bukan soal kedudukan atau kemegahan. Ia adalah tanggungjawab untuk berkhidmat dengan ikhlas, menjaga kepentingan rakyat dan melakukan yang terbaik demi negara tercinta, ” kata PMX dalam perkongsiannya dalam laman media sosial hari ini.
Jelas PMX lagi, masalah sebenar negara bukanlah perbezaan kaum atau agama tetapi rasuah, penyelewengan serta mereka yang meniupkan hasutan kebencian dan perkauman.
Kata PMX, kekuatan Malaysia terletak pada kemampuan rakyatnya untuk hidup bermuafakat, saling menghormati dan bergerak ke hadapan sebagai satu bangsa yang berkongsi cita-cita serta masa depan yang sama.
” Terima kasih atas persahabatan, doa dan sokongan yang tidak pernah putus. Semoga ukhuwah ini terus menjadi sumber kekuatan dalam perjuangan kita untuk berkhidmat demi agama, bangsa dan tanah air tercinta, ” kata beliau lagi.
