


23 Jun 2026
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) telah melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu terhadap aktiviti pencerobohan di atas tanah milik tanah Kerajaan Persekutuan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Operasi ini dilaksanakan bersama Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) selaku Kementerian/Jabatan Pengguna (KJP), dengan kerjasama agensi sahabat iaitu Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTGWPKL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).
Pelaksanaan operasi ini adalah selaras dengan fungsi JKPTG dalam menjaga dan melindungi kepentingan Kerajaan Persekutuan ke atas tanah Persekutuan, termasuk menyelaras tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang pencerobohan, pendudukan atau penggunaan tanah tanpa kebenaran yang sah.
Operasi penguatkuasaan tersebut melibatkan beberapa unit rumah setinggan, bengkel kenderaan dan rumah ibadat bukan Islam yang tidak berdaftar. Pihak yang menduduki kawasan berkenaan telah memberikan kerjasama dan keluar secara aman daripada bangunan serta struktur milik Kerajaan Persekutuan di atas tanah tersebut.
Tapak berkenaan telah disita dan akan dipantau oleh MINDEF selaku KJP bagi mengelakkan pencerobohan berulang.
Orang ramai diingatkan agar sentiasa menyemak status tanah terlebih dahulu serta mendapatkan kebenaran yang sah sebelum menduduki, menggunakan atau menjalankan sebarang aktiviti di atas mana-mana tanah. Langkah ini penting bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang serta memastikan tanah diurus secara teratur, selamat dan bertanggungjawab.
Sebarang pencerobohan, pendudukan atau penggunaan tanah Persekutuan tanpa kebenaran yang sah merupakan suatu kesalahan di bawah seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara [Akta 828].
