PRN JOHOR: DR. MASZLEE SAHUT AMANAH PIMPINAN, SEDIA GALAS TANGGUNGJAWAB DI PUTERI WANGSA

Oleh Noraini Nordin
(Sorotan PRN Johor)

23 Jun 2026 –

Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan pencalonannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini adalah atas amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan tertinggi KEADILAN.

Menurut beliau, keputusan untuk bertanding bukan didorong oleh kepentingan peribadi, sebaliknya sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan demi perjuangan parti dan rakyat.

“Faktor pertama ialah seruan daripada pimpinan, terutamanya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri supaya saya menggunakan segala pengalaman dan pengetahuan yang ada untuk terus menabur bakti di peringkat negeri.

“Apabila Presiden dan Timbalan Presiden memberikan mandat, kita sebagai anggota parti perlu menurut amanah dan melaksanakan tanggungjawab tersebut sebaik mungkin,” katanya dalam temuramah khas dengan penulis di Muar , petang semalam.

PERSIAPAN SUDAH BERMULA LEBIH AWAL

Mengulas mengenai cabaran PRN Johor yang disifatkan sebagai antara pilihan raya negeri paling sengit, Dr. Maszlee berkata KEADILAN Johor sebenarnya telah lama membuat persiapan dan tidak hanya bergerak apabila pilihan raya diumumkan.

Menurut beliau, seluruh jentera parti di peringkat cabang telah mula memperkukuhkan organisasi dan mendekati rakyat sejak beberapa tahun lalu.

“Di Johor, kita tidak bergerak hanya apabila pilihan raya tiba. Selepas pemilihan parti dan sesi pengukuhan organisasi, ketua-ketua cabang serta jawatankuasa di semua peringkat telah bekerja untuk memberikan khidmat kepada rakyat dan memperkukuhkan parti.

“Apabila gendang perang pilihan raya dibunyikan, kita sebenarnya sudah bersedia. Cuma kali ini kita berada dalam mood perjuangan yang lebih serius dan lebih fokus untuk memastikan kemenangan,” jelas beliau.

YAKIN JENTERA KEADILAN MAMPU HADAPI CABARAN

Dr. Maszlee turut menyatakan keyakinan bahawa pengalaman, kesungguhan jentera serta semangat perjuangan yang dipamerkan oleh anggota parti akan menjadi kekuatan utama dalam menghadapi persaingan sengit PRN Johor.

Beliau berharap seluruh anggota parti terus memperkukuhkan perpaduan, memperhebatkan gerak kerja akar umbi serta mengekalkan fokus untuk membawa agenda perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat Johor.

Katanya, pilihan raya kali ini bukan sekadar pertandingan politik, tetapi peluang untuk menawarkan kepimpinan yang berintegriti, berwibawa dan berorientasikan penyelesaian kepada rakyat negeri itu.

“Kita turun bukan sekadar untuk bertanding, tetapi untuk berkhidmat dan memastikan masa depan Johor terus berada pada landasan yang terbaik,” katanya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *