16 pelajar SK Oran sertai Program Gamelan Star Junior anjuran UiTM Perlis

Oleh: Sholina Osman
24 JUN 2026

Tiada siapa dapat menolak pengaruh dunia digital termasuk dalam bidang seni budaya.

Sekalipun dengan kecanggihan dunia digital, seni budaya kini boleh dipelajari menerusi aplikasi tetapi kenyataannya ia tetap memerlukan latihan dari yang berpengalaman.

Atas alasan ini Persatuan Gamelan Gema Kayangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis telah menganjurkan Program Gamelan Star Junior buat kali ketiga baru-baru ini.

Terbaharu persatuan ini bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Oran, Mata Ayer, Perlis.

SEBELUM INI BELAJAR

Seramai 16 murid-murid dari Tahun 3 sehingga 6 yang sebelum ini belajar gamelan menerusi aplikasi telah didedahkan dalam program sehari di UiTM Perlis.

Kesemua murid-murid berkenaan menerima sijil setelah tamat program.

Sementara itu Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis,
Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh dalam ucapan perasmian menjelaskan Program Gamelan Star Junior merupakan satu inisiatif yang amat bermakna dalam usaha memperkenalkan seni muzik tradisional kepada generasi muda.

DUNIA YANG SEMAKIN

Beliau berkata dalam dunia yang semakin moden dan dipengaruhi oleh pelbagai bentuk hiburan digital, usaha untuk memelihara serta memartabatkan seni warisan seperti gamelan amatlah penting agar khazanah budaya negara terus dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Saya difahamkan bahawa para peserta bukan sahaja didedahkan kepada teknik asas permainan gamelan, malah turut mempelajari nilai-nilai murni seperti kerjasama, disiplin, komitmen dan semangat berpasukan,” ujar beliau.

Wan Mohd Yaseer berkata nilai-nilai inilah yang mampu membentuk sahsiah dan jati diri yang cemerlang dalam kalangan anak-anak.

BERPERANAN SEBAGAI PLATFORM

Selain memberi manfaat kepada para peserta, jelas beliau, program seperti ini juga berperanan sebagai platform untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama antara pihak universiti dan pihak sekolah.

“Hubungan yang terjalin melalui penganjuran program sebegini
membuka ruang kepada perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” tambah beliau.

Beliau percaya bahawa kerjasama yang erat antara institusi pengajian tinggi dan sekolah merupakan satu langkah penting dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah turut menghargai warisan budaya
dan seni tradisional negara.

SEMOGA HUBUNGAN BAIK

Wan Mohd Yaseer berharap semoga hubungan baik yang telah terjalin ini dapat diteruskan melalui pelbagai program dan inisiatif pada masa akan datang.

“Kepada para peserta, saya berharap agar pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini menjadi titik permulaan untuk anda terus mengenali, menghargai dan
memartabatkan seni budaya tradisional negara,” kata beliau.

Sehubungan itu nasihat beliau supaya anak-anak ini terus menimba ilmu,
mengembangkan bakat dan menjadi generasi yang menghargai warisan bangsa.

Hadir sama Penolong Pegawai Kebudayaan UiTM Cawangan Perlis, Wan Mohd Safuan Wan Mohd Nadziham; Penasihat Persatuan Gamelan Nur Aishah Zakaria dan Guru Besar SK Oran Tengku Hazleen Tengku Azman. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *