
Bukit Kayu Hitam, 23 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam telah menganjurkan Program Dialog Antirasuah Dalam Penguatkuasaan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam bagi memperkukuh budaya integriti dan kesedaran antirasuah dalam kalangan pegawai penguat kuasa.
Program dimulakan dengan Taklimat Antirasuah yang menekankan kepentingan pematuhan prosedur kerja, tadbir urus yang baik serta penolakan terhadap rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Sesi Dialog Antirasuah bertemakan “Integriti Diperkasa, Sempadan Negara Terpelihara” menampilkan PPj Syed Aswadi bin Syed Soffian, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kedah, dan Dr. Hamizar Iqbal bin Abdul Halim, Timbalan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam sebagai ahli panel. Perbincangan memfokuskan cabaran integriti dalam penguatkuasaan sempadan, pengukuhan kawalan dalaman serta kepentingan ketelusan dan akauntabiliti dalam melaksanakan tugas.
Program diakhiri dengan penegasan bahawa pemerkasaan integriti dan penolakan rasuah perlu menjadi budaya kerja setiap anggota penguat kuasa bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara terus terpelihara.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan SPRM dan AKPS dalam memperkukuh tadbir urus serta melahirkan warga penguat kuasa yang berintegriti, profesional dan berakauntabiliti demi kepentingan negara.
