
KUALA LUMPUR, 26 Jun 2026 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung peningkatan premium insurans kesihatan dan caj hospital swasta, sambil menegaskan bahawa syor yang dikemukakan adalah selari dengan pelaksanaan Strategi RESET yang sedang digerakkan kerajaan.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) memaklumkan bahawa cadangan PAC akan diberi pertimbangan sewajarnya bagi mempercepat pelaksanaan reformasi sektor kesihatan swasta.
JBMKKS yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, menjelaskan bahawa usaha bersepadu melibatkan Kementerian Kewangan, KKM, Bank Negara Malaysia serta pelbagai pihak berkepentingan terus diperkukuhkan bagi menangani peningkatan kos rawatan dan inflasi perubatan, tanpa menjejaskan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
Menurut kenyataan itu, antara kemajuan penting yang telah dicapai ialah pelaksanaan fasa perintis pelan asas Medical and Health Insurance/Takaful (MHIT) yang dijadual bermula sebelum penghujung Julai 2026.
Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan beberapa pembaharuan lain termasuk penggunaan secara berperingkat mekanisme pembayaran Diagnosis-Related Group (DRG), peningkatan ketelusan harga serta faktor inflasi perubatan, pengukuhan standard data kesihatan dan penambahbaikan mekanisme penyelesaian pertikaian dalam sektor kesihatan swasta.
KKM menegaskan semua pihak kekal komited memastikan pelaksanaan Strategi RESET berjalan mengikut jadual bagi menghasilkan sistem penjagaan kesihatan swasta yang lebih mampu milik, telus dan mampan untuk seluruh rakyat Malaysia.
JBMKKS turut memaklumkan perkembangan terkini pelaksanaan strategi tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat seterusnya yang dijadual berlangsung pada Julai ini.
Strategi RESET merupakan inisiatif bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia serta pemain industri yang memberi tumpuan kepada lima teras utama, iaitu pembaharuan MHIT, ketelusan harga, pengukuhan sistem kesihatan digital, peluasan pilihan rawatan yang lebih kos efektif dan transformasi mekanisme pembayaran penyedia perkhidmatan kesihatan.
Sorotan Berita : Jendela Madani
