PETRA LANCAR PROGRAM NUR@PETRA 2026, SEDIA 160,000 REBAT BERNILAI RM32 JUTA UNTUK RAKYAT

PUTRAJAYA, 29 Jun 2026 – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan Program Nikmat Untuk Rakyat PETRA (NUR@PETRA) 2026 bagi Kategori Domestik bermula 1 Julai 2026 sebagai langkah membantu rakyat menghadapi peningkatan kos tenaga serta menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap dan mampan.

Program yang dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam menangani cabaran krisis bekalan tenaga dan ketidaktentuan pasaran tenaga global akibat konflik geopolitik, di samping mempercepat agenda peralihan tenaga negara.

Bagi tahun 2026, kerajaan memperuntukkan 160,000 unit rebat dengan nilai keseluruhan RM32 juta. Pengguna domestik yang layak akan menikmati rebat RM200 bagi pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga yang mempunyai label kecekapan tenaga 4 atau 5 bintang yang diperakui oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) atau Energy Commission of Sabah (ECoS). Permohonan rebat akan dibuka mulai 1 Julai 2026.

PETRA menjangkakan pelaksanaan program ini mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 552.25 gigawatt-jam (GWh) dalam tempoh lima tahun, bersamaan penjimatan kos kira-kira RM250.72 juta. Selain itu, program ini dijangka mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 408,655 tan CO₂eq, sekali gus menyokong pembangunan rendah karbon dan kelestarian alam sekitar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan, kaedah permohonan, mekanisme pelaksanaan serta senarai model peralatan elektrik yang layak melalui laman sesawang rasmi SEDA Malaysia.

Menurut PETRA, Program NUR@PETRA 2026 selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat melalui penggunaan tenaga yang cekap, mampan dan mesra alam demi masa depan negara yang lebih lestari.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *