PM INGATKAN PERTIMBANGAN MANUSIA MESTI JADI KEUTAMAAN DI SEBALIK PESATNYA AI

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara mesti memastikan pertimbangan manusia terus menjadi teras dalam setiap proses membuat keputusan.

Ia katanya, meskipun keupayaan dan kecanggihan teknologi berkembang dengan begitu pesat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui, teknologi kecerdasan buatan (AI) sedang mengubah landskap perniagaan, perdagangan dan sistem kewangan global.

“Ia bukan sekadar mengubah cara syarikat beroperasi, malah turut mempengaruhi penilaian kredit, pengurusan risiko, aliran perdagangan rentas sempadan serta ekosistem ekonomi secara keseluruhannya.

“Namun, dalam mengejar kemajuan teknologi, kita tidak boleh mengorbankan nilai kemanusiaan yakni pertimbangan berasaskan hikmah, etika dan tanggungjawab.

“Tiga perkara itu mesti terus menjadi tunjang kepada setiap keputusan yang dibuat,” katanya.

Perdana Menteri menekankan demikian ketika merasmikan Pusat Pembangunan Global (GDC) Ant International Kuala Lumpur hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan memilih Malaysia sebagai tapak GDC adalah bertepatan dengan pelancaran Rangka Tindakan Malaysia Digital 2030 pada Isnin lalu.

“Semua ini membuktikan keyakinan pelabur global terhadap dasar, kestabilan dan hala tuju ekonomi negara.

“Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi muncul sebagai peneraju ekonomi digital yang berdaya saing, inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” tambahnya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *