Timbalan Perdana Menteri Belgium Adakan Lawatan Kerja Rasmi ke Malaysia

PUTRAJAYA, 1 Julai – Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri, Hal Ehwal Eropah serta Kerjasama Pembangunan Belgium, TYT Maxime Prévot, akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 2 hingga 3 Julai 2026, yang merupakan lawatan rasmi pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan pada Februari 2025.

Sepanjang lawatan tersebut, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof, bagi menilai hubungan dua hala Malaysia–Belgium serta meneroka kerjasama baharu dalam bidang tenaga boleh baharu, unsur nadir bumi dan industri halal. Perbincangan turut meliputi hubungan Malaysia–Kesatuan Eropah serta perkembangan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

TYT Maxime Prévot juga dijadual menyampaikan ucapan pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39 anjuran Institute of Strategic and International Studies (ISIS), selain menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pada tahun 2025, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Belgium mencecah RM9.74 bilion, melibatkan eksport Malaysia sebanyak RM6.85 bilion dan import RM2.89 bilion. Sehingga kini, sebanyak 67 projek dengan penyertaan Belgium telah diluluskan di Malaysia, melibatkan pelaburan RM5.1 bilion serta berpotensi mewujudkan 4,605 peluang pekerjaan.

Sumber: Kementerian Luar Negeri Malaysia

Sorotan Berita: Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *