Tragedi LPT1: Jenazah Tiga Penunggang Motosikal Selamat Disemadikan

DUNGUN, 11 Julai- Jenazah tiga daripada empat mangsa kemalangan motosikal di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Kuantan, Pahang awal pagi tadi selamat dikebumikan petang ini.

Jenazah allahyarham Che Sufian Che Ghani, 40, dan allahyarham Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbong, Paka, Dungun, Terengganu selepas solat Asar.

Sementara itu, jenazah allahyarham Muhammad Safawi Md Noh, 24, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Cheneh Baru, Kemaman kira-kira pukul 6.00 petang.

Terdahulu, jenazah allahyarham Che Sufian dan allahyarham Muhammad Hafiz Al Hakim dimandi serta dikafankan di Masjid Cenderawasih, Kuantan selepas proses bedah siasat selesai di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kira-kira pukul 10.00 pagi.

Jenazah kedua-duanya kemudian dibawa pulang ke kampung halaman untuk disolatkan di Masjid Hadari, Bandar Paka sebelum proses pengebumian.

Suasana pilu menyelubungi proses pengebumian apabila kira-kira 500 waris dan rakan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-dua allahyarham.

Proses pengebumian selesai kira-kira pukul 5.00 petang.

Jenazah allahyarham Mohd Aizat Husni, 33, pula dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Payung, Besut, Terengganu selepas solat Isyak malam ini.

Dalam kejadian di Kilometer 246.4 LPT1 sebelum susur keluar Plaza Tol Jabor, empat mangsa maut manakala 20 lagi cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas sebuah motosikal melanggar bahagian belakang kereta sebelum menyebabkan perlanggaran membabitkan penunggang motosikal lain.

Tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan HTAA.

Sumber : RTM

Sorotan : Berita Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *