
PUTRAJAYA, 16 Julai – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pengumuman terbaharu rejim Zionis Israel mengenai pelan peluasan penempatan haram bernilai USD2.3 bilion di Wilayah Palestin yang diduduki.
Dalam satu kenyataan media Wisma Putra, kerajaan menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa serta usaha terancang untuk memperkukuh pendudukan haram dan menafikan hak mutlak rakyat Palestin.
Malaysia menegaskan bahawa peluasan penempatan haram tersebut merupakan ancaman langsung kepada usaha mewujudkan keamanan yang adil dan berkekalan, selain bercanggah dengan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Konvensyen Geneva Keempat.
Kerajaan turut menggesa masyarakat antarabangsa dan PBB mengambil tindakan tegas bagi menolak peluasan penempatan haram serta menghentikan rampasan tanah Palestin yang berterusan.
Malaysia sekali lagi menegaskan solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin dan mengulangi sokongan terhadap penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka serta berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Sumber: Wisma Putra
Sorotan Berita: Jendela Madani
