
PUTRAJAYA, 20 Julai – Kesemua baki empat anak kapal warga Malaysia yang terkandas di atas kapal MV Berkat Tuah dij Pelabuhan Hamriyah, Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak Oktober 2025, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.00 pagi hari ini.
Kementerian Luar Negeri memaklumkan kepulangan mereka adalah hasil usaha libat urus berterusan antara Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, Jabatan Laut Malaysia serta pihak berkuasa Sharjah yang membolehkan mereka dibenarkan meninggalkan kapal tersebut pada 18 Julai 2026.
Sebelum ini, empat lagi anak kapal warga Malaysia yang berada di atas kapal sama telah berjaya pulang ke tanah air pada 10 April 2026, menjadikan kesemua lapan anak kapal Malaysia kini telah kembali dengan selamat.
Sepanjang tempoh kapal itu terkandas, Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai telah mengadakan beberapa lawatan konsular bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan keperluan anak-anak kapal sentiasa terpelihara. Pada masa yang sama, perwakilan diplomatik Malaysia turut menyelaras rundingan bersama pihak berkuasa Sharjah, Jabatan Laut Malaysia dan pihak berkepentingan bagi mempercepatkan proses membawa pulang mereka ke tanah air.
Kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam memastikan proses kepulangan anak-anak kapal tersebut dapat diselesaikan dengan lancar dan selamat.
Kementerian Luar Negeri menegaskan bahawa melalui rangkaian Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara, kerajaan akan terus komited menjaga kebajikan, keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia yang berada di luar negara, termasuk dalam situasi kecemasan dan kes-kes melibatkan warga Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sumber: Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra)
Sorotan Berita: Jendela Madani
