
“Kawalan sempadan yang berkesan merupakan benteng utama dalam mempertahankan kedaulatan negara. KDN akan terus memperkukuh penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan keselamatan rakyat dan negara sentiasa terpelihara.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara. Sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2026, seramai 641 pendatang tanpa izin (PTI) berjaya ditahan menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan hasil risikan berterusan, rondaan taktikal dan pemantauan rapi oleh Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA).
Daripada jumlah tersebut, 507 orang adalah lelaki (79.1%) manakala 134 orang wanita (20.9%). Kes melibatkan warga daripada 10 buah negara, dengan Myanmar mencatat jumlah tertinggi iaitu 428 orang, diikuti Bangladesh (73), Indonesia (39), Thailand (38), China (21), India (19), Nepal (16), Vietnam (4), Pakistan (2) dan Nigeria (1).
Kejayaan ini membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan serta rondaan berterusan oleh PDRM dalam mengekang pencerobohan sempadan, sekali gus memperkukuh keselamatan, kedaulatan dan ketenteraman negara.
Sumber: Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Ahmad Radzi Hussain; Infografik Bernama, 20 Julai 2026.
