
Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh agenda pemodenan infrastruktur keselamatan sempadan negara menerusi kelulusan kajian awalan pembinaan semula Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, Perak di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.
“Kerajaan MADANI komited memastikan setiap pembangunan infrastruktur keselamatan negara dirancang secara teliti, berimpak tinggi dan berorientasikan keperluan masa hadapan demi memperkukuh keselamatan sempadan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri
Kajian awalan yang dijangka mengambil masa 2 tahun ini merangkumi pelantikan perunding, pelaksanaan kajian teknikal serta penyediaan laporan akhir bagi menentukan kesesuaian, skop, reka bentuk, anggaran kos dan kaedah pelaksanaan projek pembinaan semula Kompleks ICQS Bukit Berapit.
Bagi menjayakan pelaksanaan kajian tersebut, KDN telah memulakan proses pelantikan perunding jurukur tanah dan topografi dengan surat pelawaan kepada perunding dikeluarkan pada 4 Jun 2026. Selepas maklum balas diterima, proses pelantikan akan dibawa untuk pertimbangan dan kelulusan Lembaga Perolehan yang berkaitan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KDN dalam memperkukuh infrastruktur pintu masuk negara secara strategik bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sempadan, memperkukuh aspek keselamatan serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Sumber:
PERTANYAAN JAWAB LISAN, DEWAN RAKYAT, MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KELIMA, PARLIMEN KELIMA BELAS, 16 JULAI 2026.
