MyIPO Perkasa Pengurusan Harta Intelek, Tingkatkan Nilai Komersial Industri Batik Tempatan

PETALING JAYA, 21 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melancarkan Program “IP Accelerator (IPX) – Evolusi Batik: Memelihara Tradisi, Memperkasa Nilai” sebagai usaha memperkukuh pengurusan Harta Intelek (HI) dalam kalangan pengusaha batik muda tempatan.

Program tersebut bertujuan membantu pengusaha batik menjadikan Harta Intelek sebagai aset strategik perniagaan bagi meningkatkan nilai komersial produk, memperkukuh penjenamaan serta memperluas akses ke pasaran domestik dan antarabangsa.

Lebih 500 peserta yang terdiri daripada pengusaha batik, artisan, pereka fesyen, mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) serta wakil agensi kerajaan menyertai program berkenaan. Seramai 100 pengusaha batik muda turut dipilih menyertai Klinik Pengurusan Harta Intelek hasil kerjasama strategik antara MyIPO dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) bagi mendapatkan bimbingan berkaitan strategi perlindungan Harta Intelek, pembangunan portfolio, penjenamaan dan model pelesenan.

Menurut KPDN, inisiatif itu selaras dengan komitmen kerajaan memperkukuh sektor ekonomi kreatif yang terus menunjukkan pertumbuhan positif. Berdasarkan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor ekonomi kreatif menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai sekitar RM130 bilion.

Program IPX yang dilaksanakan selaras dengan aspirasi Pelan Strategik MyIPO NextGen memberi penekanan kepada perlindungan Harta Intelek, pembangunan portfolio, penjenamaan dan pengkomersialan hasil kreativiti tempatan bagi meningkatkan daya saing perusahaan berasaskan kreativiti seperti industri batik.

KPDN turut menggalakkan pengusaha batik memanfaatkan teknologi digital termasuk Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pelengkap kepada pembangunan produk dan pemasaran, tanpa menjejaskan identiti serta keaslian Batik Malaysia sebagai warisan negara.

Kementerian menegaskan akan terus memperkukuh ekosistem Harta Intelek negara melalui program pembangunan kapasiti, khidmat nasihat dan peningkatan kesedaran agar lebih ramai usahawan tempatan menjadikan Harta Intelek sebagai strategi pembangunan perniagaan. Inisiatif itu juga selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang meletakkan inovasi dan pengkomersialan Harta Intelek sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negara, di samping memastikan warisan batik Malaysia terus dipelihara, diperkasakan dan mampu menembusi pasaran global.

Sumber: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
Sorotan Berita: Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *