IRC 2026 PERKUKUH KERJASAMA GLOBAL BENTUK ERA DIGITAL BERTERASKAN KEPERCAYAAN, DAYA TAHAN DAN TADBIR URUS BAIK

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Malaysia komited memperkukuh ekosistem digital yang selamat, berdaya tahan dan dipercayai melalui pendekatan kawal selia yang progresif serta kerjasama erat di peringkat antarabangsa.

Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata, perkembangan pesat teknologi digital menuntut dasar dan rangka kerja kawal selia yang mampu berkembang seiring dengan inovasi bagi memastikan kepentingan rakyat terus dilindungi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena International Regulatory Conference (IRC) 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur bertemakan “Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust”.

Menurut beliau, Malaysia telah mencatat kemajuan signifikan dalam transformasi digital menerusi pelaksanaan JENDELA, peluasan rangkaian 5G, pelaburan dalam infrastruktur kabel dasar laut serta pelaksanaan agenda pendigitalan negara. Namun, kejayaan tersebut bukan sahaja perlu diukur berdasarkan kelajuan dan liputan rangkaian, malah turut bergantung kepada keupayaannya meningkatkan kesejahteraan rakyat, membina keyakinan awam serta mewujudkan peluang ekonomi yang lebih luas.

Beliau turut menegaskan bahawa era digital baharu memerlukan keseimbangan antara inovasi dan akauntabiliti. Dalam konteks itu, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 diperkenalkan bagi mengalihkan pendekatan daripada sekadar bertindak selepas berlakunya kemudaratan kepada usaha pencegahan, di samping memperkukuh tanggungjawab platform digital serta meningkatkan perlindungan terhadap kanak-kanak dan golongan rentan.

Mengulas cabaran teknologi masa hadapan, beliau berkata perkembangan kecerdasan buatan (AI), komunikasi kuantum, sistem autonomi dan robotik maju membuka ruang inovasi yang besar, namun pada masa sama menuntut perhatian terhadap isu ketelusan, keselamatan siber, maklumat palsu, bias algoritma dan pengawasan manusia yang berkesan. Sehubungan itu, daya tahan digital perlu menjadi keutamaan strategik negara.

Beliau turut menekankan bahawa tiada sebuah negara, pengawal selia atau organisasi mampu menangani cabaran digital secara bersendirian. Sebaliknya, kerjasama erat antara kerajaan, pengawal selia, industri, akademia, masyarakat sivil dan rakan antarabangsa amat penting bagi membentuk dasar yang lebih berkesan serta memperkukuh tadbir urus digital global.

Menurut beliau, IRC 2026 diharap menjadi platform yang bukan sahaja menghasilkan perbincangan berkualiti, malah menterjemahkan hasil dialog kepada tindakan konkrit melalui pengukuhan dasar, kerjasama strategik dan amalan terbaik yang boleh dimanfaatkan di peringkat nasional serta antarabangsa. Sebagai Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU Council Member), Malaysia bersedia memainkan peranan lebih aktif dalam membentuk landskap tadbir urus digital global.

Sorotan Berita Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *