KDN PERKUKUH PENDEKATAN BERSEPADU MEMBANTERAS DADAH DI SABAH

22 Julai 2026

Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh pendekatan bersepadu bagi membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Sabah melalui kerjasama erat antara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta masyarakat. Pendekatan menyeluruh ini merangkumi aspek pencegahan, penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Kerjasama bersepadu antara agensi penguatkuasa dan masyarakat adalah kunci utama dalam memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah demi menjamin keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.”
— YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri

Berdasarkan statistik AADK bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, seramai 3,553 individu dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah di Sabah, dengan 3,459 kes melibatkan Amphetamine-Type Stimulants (ATS) yang kekal sebagai dadah paling banyak disalahgunakan. Bagi memperkukuh usaha pencegahan, AADK melaksanakan Model i-Cegah serta pelbagai program berasaskan komuniti dan institusi pendidikan, selain pembinaan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) baharu di Tawau bernilai RM157.03 juta bagi meningkatkan kapasiti rawatan dan pemulihan.

Dalam aspek penguatkuasaan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah merekodkan 6,993 kes dengan 7,334 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, termasuk 4,626 kes penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta 318 penagih berulang ditahan di bawah Seksyen 39C akta yang sama. Dalam tempoh tersebut juga, 9 sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan dengan rampasan sebanyak 4,246 kilogram dadah hasil kerjasama strategik bersama JSJN Bukit Aman, JKDM dan AKPS.

KDN akan terus memperkukuh pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society melalui penyelarasan risikan, operasi bersepadu serta penglibatan masyarakat bagi memastikan ancaman penyalahgunaan dan pengedaran dadah dapat dibendung secara berkesan demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan negara.

Sumber:
Pertanyaan Jawab Lisan Dewan Negara, Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas, 21 Julai 2026.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *