
ROMPIN, 26 Julai – Program Wayang Pacak anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) terus menjadi platform komunikasi berkesan bagi mendekati masyarakat serta menyampaikan maklumat mengenai dasar, inisiatif dan bantuan kerajaan dalam suasana santai, mesra dan inklusif.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu membolehkan kerajaan berinteraksi secara langsung dengan rakyat sambil mendapatkan pandangan serta maklum balas mengenai isu setempat.
Program yang dilaksanakan secara berkala itu memanfaatkan aset JAPEN Arena Penggerak Komuniti (JAGO) dan dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi memperluaskan penyampaian maklumat ke pelbagai lokasi di seluruh negara.
Sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan, termasuk masyarakat Orang Asli, membuktikan pendekatan berasaskan komuniti ini mampu mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat.
Setiap pandangan yang diterima akan disalurkan kepada kementerian serta agensi berkaitan bagi tindakan susulan, sekali gus memastikan keperluan dan kebajikan masyarakat terus diberi perhatian.
